Wanita Nyaris Maut Kereta Terjunam Ke Sungai ‘Angkara Waze’

Kereta mangsa terjunam ke dalam sungai di jeti feri Tanjung Kunyit, malam tadi. Foto Cheau Sze Cheik

SIBU, 2 Jun – Seorang wanita berusia 41 tahun berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandunya terjunam ke dalam sungai selepas tersalah masuk ke kawasan jeti feri di Tanjung Kunyit, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu berlaku apabila mangsa yang memandu sebuah Perodua Viva dari Serian ke Sibu menggunakan panduan aplikasi Waze.

“Apabila tiba di Bulatan Paradom, aplikasi itu telah mengarahkan mangsa ke laluan menuju ke Tanjung Kunyit.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa tidak menyedari kawasan tersebut merupakan jeti feri dan terus memandu sehingga kenderaannya terjatuh ke dalam sungai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa tidak menyedari kewujudan papan tanda atau notis amaran disebabkan keadaan gelap dan hujan ketika kejadian.

Zulkipli berkata, kejadian itu hanya menyebabkan kerosakan pada enjin kereta yang dimasuki air dan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kenderaan mangsa telah dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut dan siasatan masih dijalankan,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *