Usaha Mencari Kanak-Kanak Tergelincir Ke Dalam Sungai Diteruskan

Mangsa dikenali sebagai Batrick Giling Bunau yang berumur satu tahun enam bulan dilihat berada di tebing sungai sebelum tergelincir lalu terjatuh ke dalam sungai. Foto JBPM Sarawak
SIBU, 26 Feb – Seorang kanak-kanak lelaki berumur satu tahun enam bulan dikhuatiri lemas selepas tergelincir ke dalam sungai, kira-kira 150 meter dari Rumah Boniface, Nanga Germai di Kanowit pada Ahad.
Mangsa dikenali sebagai Batrick Giling Bunau yang berumur satu tahun enam bulan dilihat berada di tebing sungai sebelum tergelincir lalu terjatuh ke dalam sungai.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu pada pukul 6.16 petang sebelum mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit ke lokasi.
“Semasa kejadian kira-kira jam 5.15 petang, ibu bapa mangsa sedang sibuk bekerja mengenjin padi dan tidak menyedari kehilangan anak mereka.
“Dua orang kampung yang berada di tebing sungai ternampak mangsa tergelincir dan cuba menyelamat, namun usaha mereka tidak berjaya,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Menurutnya lagi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) terpaksa ditangguhkan pada jam 7.59 malam ekoran keadaan cuaca gelap dan diteruskan hari ini.
Katanya, ketika hilang mangsa memakai baju putih dan berseluar pendek hitam.
Turut berada di lokasi adalah anggota polis Kanowit dan penduduk kampung.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
