Ular Sawa Kempunan Baham Ayam Ditangkap

Empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Daerah Miri mengangkat ular sawa sepanjang empat meter dengan anggaran berat 20 kilogram yang cuba menelan seekor ayam kelmarin. Foto APM
MIRI, 28 Nov – Seekor ular sawa batik sepanjang empat meter kempunan mahu membaham ayam hidup selepas kemunculannya disedari seorang wanita warga emas di Kampung Lereng Bukit, kelmarin.
Jurucakap Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Miri Masnor Mazlin Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan daripada warga emas itu sekitar jam 9.18 malam.
Bertindak atas aduan, sepasukan empat anggota diketuainya sendiri telah bergegas ke lokasi untuk membantu menangkap reptilia berkenaan.
Sebaik tiba, pasukan itu dimaklumkan pengadu bahawa ular sawa berkenaan disedarinya selepas mendengar bunyi bising ayam di bawah beranda rumahnya.
Pengadu kemudian memeriksa punca bunyi bising itu dan terkejut melihat seekor ular sawa sedang membelit seekor ayam.

Pasukan itu meninjau lokasi yang telah dinyatakan oleh pengadu dan menemui ular sawa batik melingkar pada tiang beranda.
Ular sawa batik sepanjang empat meter dan anggaran berat 20 kilogram itu berjaya ditangkap dengan menggunakan peralatan khas dan dilepaskan ke hutan Lambir.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
