Tiga Lelaki Ditahan Kes Rampas Kereta

Imej tangkap layar kejadian seorang lelaki yang melalui detik cemas selepas diheret keluar dari kereta miliknya oleh individu tidak dikenali dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat dekat kawasan Mak Mandin, Butterworth. Foto Ihsan Pembaca.
BUTTERWORTH, 2 Jun – Polis menahan tiga lelaki dipercayai diupah along bagi merampas sebuah kereta milik seorang lelaki di persimpangan lampu isyarat dekat kawasan Mak Mandin di sini, kelmarin.
Tangkapan tiga lelaki berusia antara 27 hingga 49 tahun itu dibuat dalam serbuan berasingan semalam di Kuala Kangsar, Perak, dan Seberang Jaya serta Butterworth, Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, tangkapan itu susulan video tular memaparkan dakwaan sebuah kereta yang dinaiki oleh seorang individu didakwa disamun.
“Semakan mendapati, kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat kawasan Mak Mandin, kelmarin, dan satu laporan polis dibuat mangsa pada hari kejadian.

“Berikutan itu, polis menjejaki suspek sebelum membuat penahanan ke atas kesemua suspek.
“Dalam serbuan itu, polis merampas sebuah kereta dan pakaian yang dipakai oleh ketiga-tiga suspek. Ketika ditahan, kesemua suspek berada di bawah pengaruh dadah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, siasatan ke atas suspek mendapati mereka diupah oleh seorang pemberi pinjaman wang untuk merampas kereta mangsa.
“Dalam kejadian ini sebenarnya, ibu mangsa berusia 57 tahun membuat pinjaman wang berjumlah RM100,000 pada tiga tahun lalu dengan seorang pemberi pinjaman wang (along).
“Ibu mangsa bersetuju untuk menyerahkan kereta anaknya melalui satu perjanjian bertulis sekiranya gagal membayar pinjaman berkenaan,” katanya.
Jelasnya, susulan kegagalan ibu membayar pinjaman itu menyebabkan kereta anak lelakinya dirampas sebagaimana video tular berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
