Tidak Mustahil Liverpool Lolos Ke Peringkat Kalah Mati Liga Europa

Liverpool berpeluang mara ke pusingan kalah mati andai menang ke atas LASK di Anfield awal pagi Jumaat. Foto Arkib
LONDON, 29 Nov – Liverpool dan kelab seangkatan mereka dalam Liga Perdana Inggeris (PL), West Ham United dan Brighton boleh memastikan tempat ke peringkat kalah mati Liga Europa awal pagi Jumaat ini dengan berbaki satu perlawanan, ketika kelab bermasalah Ajax berdepan penyingkiran daripada pertandingan itu.
Kelab Anfield itu sepatutnya memastikan kemaraan mereka ke pusingan berikutnya awal bulan ini, namun mereka tumbang 3-2 di tangan Toulouse susulan suasana gegak-gempita di Perancis, selepas gol penyamaan mereka pada saat akhir tidak disahkan oleh VAR.
Kemenangan itu diraikan oleh Toulouse dan penyokong mereka sebagai salah satu kemenangan terbesar dalam sejarah mereka tetapi ia hanya sekadar satu kejutan kecil buat Jurgen Klopp dan anak buahnya.
Sesudah memenangi tiga aksi pertama dalam Kumpulan E di sebalik pertukaran besar-besaran dalam kesebelasan utama bagi setiap perlawanan, Liverpool hanya perlu mengelak kekalahan di laman sendiri menentang LASK dari Austria dalam usaha memastikan layak sebelum aksi terakhir kunjungan ke Union Saint-Gilloise di Belgium bulan depan.

Malah mereka boleh layak sekiranya kelab Belgium itu tidak menang di Toulouse pada masa sama, tetapi The Reds turut berpeluang untuk muncul juara kumpulan – yang memastikan mereka layak ke pusingan 16 terakhir dan tidak perlu beraksi pada peringkat play-off.
Ketika Liverpool menghuni tangga ketiga dua mata di belakang pendahulu EPL, LASK juga berada di tangga ketiga Bundesliga Austria, lima mata di belakang pendahulu RB Salzburg.
Ancaman terbesar buat mereka mungkin hadir daripada pemain tengah dan kapten, Robert Zulj, namun ia pastinya satu kejutan besar jika mereka berjaya membawa pulang mata daripada kunjungan ke England.
West Ham juga berada dalam posisi sama seperti Liverpool, menyedari kemenangan minggu ini akan melayakkan mereka dari Kumpulan A tetapi mereka boleh mara jika keputusan lain turut memihak kepada mereka.
The Hammers akan berada di utara Serbia untuk berdepan TSC Backa Topola, pasukan yang ditundukkan mereka 3-1 di London pada September lalu namun baru sahaja meraih kemenangan bermakna 4-0 ke atas pendahulu liga Partizan Belgrade di laman lawan.
Pasukan kendalian David Moyes terikat di puncak kumpulan mereka bersama Freiburg dan akan layak ke pusingan kalah mati selagi kelab Jerman itu mengelak kekalahan di laman sendiri berdepan Olympiakos dari Greece.
Brighton akan beraksi dalam pengalaman sulung mereka di Eropah pada tahun baharu jika mereka mengatasi AEK Athens di tempat lawan dalam Kumpulan B, dengan misi membalas dendam susulan kekalahan 3-2 apabila kedua-dua pasukan bertemu di England dua bulan lalu.
Anak buah Roberto De Zerbi bangkit daripada kekalahan itu sebelum seri 2-2 di Marseille, namun sejak itu mereka mengatasi Ajax dua kali sekali gus berpeluang cerah ke pusingan berikutnya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
