Terap Pengurusan Kewangan Berkualiti Kepada Rakyat – Dr Hafidzah

ADUN Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim (tengah) bergambar bersama kira-kira 200 anak muda yang mengikuti program Pengurusan Kewangan MyMoney and Me yang diadakan di Dewan RTC Tunjong, Kota Bharu Kelantan. Foto Facebook Dr Hafidzah Mustakim
KOTA BHARU, 22 Ogos – Pengurusan kewangan berkualiti penting di kalangan rakyat bagi memastikan kemampanan kewangan mereka dapat dipertingkatkan menerusi seminar dan bengkel yang dianjurkan.
Menyedari kepentingan itu, Program Pengurusan Kewangan MyMoney and Me yang diadakan di Dewan RTC Tunjong Kelantan telah berjaya mencapai matlamatnya apabila kira-kira 200 peserta menyertainya bagi mendalami aspek berkenaan.
Ilmu pengurusan kewangan dapat meningkatkan kecerdasan kewangan (financial quotient) di kalangan mereka bagi membantu mengurus kewangan dengan lebih bijak dan berhemah.

Majls perasmian disempurnakan ADUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim yang mengucapkan terima kasih dan syabas kepada pihak penganjur iaitu Majlis Perancangan Kewangan Malaysia dan semua pihak dan agensi kerajaan dan swasta yang berkolaborasi menjayakan program ini.
Dalam intipati ucapannya, beliau menzahirkan rasa bangga pada anak muda hari ini yang begitu bersemangat mendengar sesi ini dari awal sampai akhir dan mendapat ilmu berkaitan kewangan daripada pakar bertauliah.
Menurutnya, selama ini golongan anak muda begitu sukar didekati atau berminat untuk menghadiri sebarang kursus atau seminar yang dianjurkan.
Dalam majlis sama juga Dr Hafidzah merasa teruja dan amat bertuah kerana bertemu seniornya iaitu Tuan Haji Rafie Omar, seorang peguam yang kini menjadi perunding syariah perancangan pengurusan kewangan.
Kedua-duanya sama-sama bersekolah di Sekolah Menengah Sains Melaka yang kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah Melaka pada tahun 70-80an.
Pertemuan ini mengimbau kembali nostalgia dan jejak kasih seorang sahabat sekian lama terpisah selepas meninggalkan alam persekolahan.
Dr Hafidzah mengucapkan jutaan terima kasih yang tak terhingga kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan dan kecaknaan beliau mengenai pelarasan gaji baharu penjawat awam baru-baru ini.
Ternyata denyut nadi penjawat awam didengar Perdana Menteri dan diberi perhatian yang cukup tinggi setelah lebih 10 tahun tidak menerima imbuhan itu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

