Tangani Kejatuhan Ringgit: Strategi Jangka Pendek Harus Dilaksana Segera

Kedudukan ringgit berbanding matawang utama pada Jun 2018. Kerajaan dijangka melakukan langkah jangka pendek bagi menangani kejatuhan ringgit pada RM4.79. Foto RTM
PENDAPAT, 22 Feb – Desas-desus mengatakan Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) yang kini ditetapkan pada kadar 3.00 peratus bagi mendepani cabaran kemerosotan nilai ringgit dilihat semakin kuat mempengaruhi sentimen ekonomi negara ketika ini.
Bagaimanapun, ramai penganalisis berkongsi pendirian tiada keperluan OPR dinaikkan kerana langkah itu dilihat hanya akan memburukkan keadaan berikutan kos pembiayaan menjadi makin mahal dan boleh membantutkan pertumbuhan ekonomi negara.
Ura-ura kenaikan OPR ini sudah tentu membuatkan orang ramai tidak senang duduk kerana bimbang ia akan menjejaskan status kewangan isi rumah. Sebelum ini, BNM menaikkan OPR sebanyak empat kali pada 2022 selepas ia mencecah paras terendah 1.75 peratus sejak negara dilanda pandemik COVID-19 pada awal 2020.
Boleh dikatakan, kadar celik OPR rakyat juga semakin meningkat selepas BNM menaikkan secara berturut pada 2022 sehingga Januari lalu yang mencecah 3.00 peratus. Ramai mengeluh terutama peminjam bank kerana perlu membayar lebih pinjaman mengikut kadar OPR baharu.

Dalam bahasa mudah, apabila OPR naik, maka kos pinjaman meningkat dan peminjam perlu membayar pinjaman sama ada kenderaan, perumahan atau peribadi dengan nilai lebih, sekali gus menjejaskan pendapatan serta kuasa beli mereka akibat pendapatan merosot.
Jelas di sini, kenaikan OPR pasti membebankan rakyat, khasnya peminjam bank. Namun dari sudut ekonomi negara pula, kenaikan OPR adalah langkah strategik kerajaan bagi mengukuhkan nilai ringgit yang kini merosot sehingga RM4.79 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Penyusutan nilai ringgit ini bermakna tukaran mata wang untuk membeli barang import menjadi lebih mahal kerana dengan nilai lemah, negara perlu mengeluarkan lebih banyak ringgit bagi membeli barang dari luar negara. Maka inilah dilema dihadapi kerajaan hari ini.
Dilema ini mendorong kerajaan membuat pilihan agak berat sama ada perlu menaikkan OPR untuk mengukuh ringgit serta ekonomi atau terpaksa mengorbankan aspek kebajikan dan kemampanan hidup rakyat.
Justeru, satu strategi dasar jangka pendek perlu dirumuskan bagi menguruskan rintangan ekonomi ini seperti menyediakan pakej rangsangan berdaya saing untuk mengukuhkan kembali keyakinan pelabur asing melabur di negara ini.
Sementara itu, pembaharuan ekonomi seperti dasar subsidi bersasar, liberalisasi industri, perubahan sistem cukai dan pencen perlu diuruskan dengan teliti bagi mengelak impak negatif terhadap kehidupan rakyat yang dibebani kenaikan kos sara hidup dan kekurangan bekalan keperluan.
Sudah tentu langkah menaikkan kadar OPR dilihat bukan satu pilihan utama apatah lagi Cukai Barang dan Perkhidmatan (SST) bakal dinaikkan daripada 6.0 peratus kepada 8.0 peratus mulai 1 Mac ini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
