Tak Kenal Erti Penat, Orang Kudat, Pulau Banggi Sambut PM Anwar

Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kudat dan Pulau Banggi diharapkan dapat mengatasi masalah-masalah berkaitan pengangkutan, jalan raya, sekolah, bekalan air dan elektrik serta telekomunikasi pada 9 Mei 2026. Foto Pulau Banggi
PENDAPAT, 9 Mei – Sebaik sahaja menamatkan lawatan kerja ke Cebu, Filipina bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 bermula kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kota Kinabalu malam tadi tanpa mengira penat yang baru digalasnya mewakili negara ke sidang pemimpin serantau itu.
Kesungguhan Anwar mahu memastikan setiap kawasan di negara ini tidak ketinggalan menerima limpahan arus pembangunan dengan mengadakan lawatan kerja ke kawasan Kudat termasuk meninjau keadaan Pulau Banggi hari ini disifatkan sebagai langkah penting dalam memastikan pembangunan kawasan luar bandar dan kepulauan terus diberi perhatian serius oleh Kerajaan MADANI.
Kehadiran Perdana Menteri sendiri ke pulau terbesar di Malaysia itu membawa isyarat jelas bahawa tiada wilayah dipinggirkan daripada arus pembangunan negara, walaupun nun jauh di penghujung utara kepulauan Borneo itu.

Pulau Banggi memiliki potensi besar dalam sektor pelancongan, perikanan, pertanian serta ekonomi maritim apatah lagi menjadi lokasi strategik pertemuan antara Laut China Selatan, Laut Sulu dan akses alternatif ke Lautan Pasifik.
Namun, selama bertahun-tahun penduduk di kawasan itu sering berdepan pelbagai kekurangan asas termasuk isu bekalan air, elektrik, kemudahan kesihatan, jaringan internet dan kekerapan pengangkutan air yang terbatas.
Keadaan tersebut menyebabkan pembangunan di pulau berkenaan bergerak perlahan berbanding kawasan lain di negeri Sabah, namun atas keprihatinan Perdana Menteri, segalanya bakal berubah biarpun bakal memakan masa dan tentunya peruntukan yang besar daripada Kerajaan MADANI.
Lawatan Anwar membuktikan pendekatan Kerajaan MADANI yang lebih inklusif dan turun padang bagi memahami sendiri realiti kehidupan rakyat. Pendekatan ini berbeza daripada pentadbiran terdahulu yang dilihat gagal memberikan fokus konsisten terhadap pembangunan kawasan pedalaman dan kepulauan di Sabah.
Malah, perhatian khusus terhadap Pulau Banggi memberi harapan baharu kepada penduduk setempat yang sekian lama menantikan perubahan menyeluruh sejak sekian lama terasa disisih seakan terbiar tanpa pembelaan.
Dijangkakan hasil daripada lawatan kerja ini, pelbagai aspek pembangunan dijangka dapat dipercepatkan termasuk peningkatan infrastruktur asas, meneliti infrastruktur pendidikan, situasi keselamatan serta peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.
Sejak sekian lama Anwar tidak melawat pulau inu yang kali terakhir dilakukannya pada 1994, lawatan kerja kali ini berpotensi menukar Pulau Banggi sebagai hab pelancongan dan ekonomi maritim juga boleh diterokai secara lebih sistematik demi meningkatkan taraf hidup rakyat.
Kita amat mengharapkan, lawatan Perdana Menteri ke Kudat dan Pulau Banggi bukan sekadar simbolik, tetapi mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan pembangunan negara lebih seimbang dan menyeluruh.
Satu lembaran baharu kepada masa depan Pulau Banggi bakal memacu pembangunan lebih holistik agar tidak lagi terus ketinggalan dalam agenda pembangunan nasional.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


