‘SPAN Jangan Naikkan Tarif Air Dulu Selagi…’

Kerajaan digesa tidak menaikkan tarif air selagi mekanisme penyaluran bantuan tidak diselesaikan biarpun kos operasi operator perkihdmatan air meningkat. Foto Arkib

KUCHING, 5 Jan – Orang ramai diingatkan sentiasa menggunakan air dengan bijak ketika ura-ura kenaikan kadar tarif air mula tular di media sosial menurut sebuah NGO yang mengutamakan isu-isu rakyat.

Bagaimanapun NGO itu juga menggesa kerajaan menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) tidak menaikkan kadar tersebut selagi penyaluran bantuan subsidi bersasar tidak dilaksanakan.

“Pangkalan data yang mengumpul maklumat isi rumah baru saja dilancarkan bagi penyaluran subsidi bersasar namun kerajaan diingatkan tidak menaikkan tarif selagi mekanisme bantuan itu tidak dimuktamadkan dan disalurkan.

”Bukan itu saja, ia turut melibatkan tarif air berbeza di negeri-negeri dengan struktur pengurusan berbeza menyebabkan sekiranya kenaikan berlaku, isu kawal selia beberapa kerajaan negeri bakal menjadikan pengguna sekali lagi menjadi mangsa,” kata NGO itu lagi.

”Pihak kami bukan tidak menyokong semakan tarif air tetapi pengguna atau lebih tepat lagi rakyat belum pulih daripada peningkatan kos sara hidup sepanjang 2023,” kata NGO itu menerusi satu kenyataan.

Kerajaan digesa tidak menaikkan tarif air selagi mekanisme penyaluran bantuan tidak diselesaikan biarpun kos operasi operator perkihdmatan air meningkat. Foto Arkib

Laporan media sebelum ini menyebut Malaysia adalah antara negara yang mengenakan purata tarif terendah bagi setiap meter padu air berbanding negara lain di rantau ini.

Laman sesawang SPAN menerusi soalan lazim mengenai pelarasan tarif air memaklumkan Malaysia mengenakan kadar keempat terendah dalam kalangan negara Asean setakat 2022 iaitu RM1.22 bagi setiap meter padu air.

Myanmar pula mengenakan caj sebanyak sembilan sen, Brunei (35 sen) dan Indonesia (RM1.15) untuk jumlah isi padu air yang sama.

Kadar dikenakan oleh negara jiran lain pula lebih tinggi iaitu RM1.37 di Vietnam, Thailand (RM1.68), Filipina (RM2.92) dan Singapura (RM5.88).

Menurut SPAN, terdapat beberapa negeri yang tarifnya tidak disemak melebihi 25 tahun iaitu Pahang dan Perlis dengan semakan terakhir masing-masing ialah pada 1983 dan 1996.

SPAN turut memaklumkan purata kos keseluruhan bagi merawat serta membekalkan air di Semenanjung Malaysia dan Labuan pada 2020 ialah RM1.68 bagi setiap meter padu.

“Purata tarif yang dikutip daripada pengguna adalah lebih rendah daripada purata kos keseluruhan iaitu RM1.37 per meter padu pada tahun yang sama,” katanya.

Menerusi soalan lazim mengenai manfaat pelarasan tarif air kepada pengguna, SPAN berkata, ia perlu disemak bagi membolehkan pelaksanaan pembangunan infrastruktur bekalan sebagaimana yang dirancang supaya isu atau aduan bekalan air dapat diatasi dan diselesaikan.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *