Siasat Dalang Kekurangan Diesel Di Stesen Petronas Di Sarawak – Jame Stephen

Pemimpin KEADILAN Sarawak Jame Stephen menggesa KPDN menyiasat dalang di sebalik kekurangan diesel dan PDB bertindak segera menambah bekalan di stesen minyak PETRONAS. Foto Facebook Jame Stephen

BINTULU, 28 Dis – Pihak berkuasa diminta menyiasat dakwaan wujud sesetengah pihak atau ‘kartel’ memonopoli bekalan diesel di negeri ini sejak kebelakangan ini.

Pemimpin KEADILAN Sarawak, Jame Stephen yang gusar dengan perkembangan itu, menggesa pihak pembekal yang menghantar bekalan ke stesen Petronas khususnya, terutama di kawasan Bintulu, Sibu, Selangau, Batang Lupar dan Tatau bertindak segera.

Beliau mahu masalah kekurangan bahan api itu turut melibatkan siasatan tentang pihak bertanggungjawab dalam kekurangan bekalan yang meruncing sejak Ogos lalu.

Ia juga sedikit sebanyak menjejaskan operasi pengangkutan selain terpaksa mencari sendiri bahan api itu dari satu stesen ke stesen minyak lain tanpa mengetahui status bekalan stesen itu.

Pemimpin KEADILAN Sarawak Jame Stephen menggesa KPDN menyiasat dalang di sebalik kekurangan diesel dan PDB bertindak segera menambah bekalan di stesen minyak PETRONAS. Foto Facebook Jame Stephen

“Saya difahamkan ramai pemandu kenderaan berat seperti lori dan pacuan empat roda bukan sahaja tidak mempunyai kemampuan membeli diesel tetapi terpaksa berhenti bekerja.

“Ini akan menjejaskan pendapatan mereka selain menambah masalah ekonomi setempat kerana ia merupakan rantaian ekonomi penting di negeri ini,” ujarnya.

Jame turut mencadangkan agar Petronas menerusi Petronas Dagangan Berhad (PDB) memperkenalkan status bekalan diesel setiap stesen minyak di negeri ini menerusi aplikasi Setel milik mereka.

”Ia bakal memberi kemudahan kepada para operator dan pemandu kenderaan diesel mengetahui status bekalan diesel di stesen minyak hanya melalui aplikasi secara atas talian secara masa nyata (real time).

”Ini bagi memastikan pengguna di Bintulu contohnya dapat mengetahui stesen minyak terdekat untuk mendapatkan bekalan diesel yang diperlukan,” tambahnya.

Jame difahamkan kuota baharu yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Putrajaya dikatakan tidak membantu memastikan bekalan diesel mencukupi, terutamanya di wilayah tengah Sarawak.

Sekiranya itu merupakan pendekatan baharu KPDN, beliau menggesa kementerian berkenaan mengambil tindakan segera untuk menyemak semula dasar mereka mengenai kuota baharu diesel bersubsidi serta RON95 bagi memastikan perkhidmatan pengangkutan penting tidak terganggu.

Jame berharap masalah ini perlu diselesaikan segera supaya bekalan tidak terjejas dan penjualannya kepada pengguna berjalan lancar terutamanya menjelang musim perayaan Tahun Baru Cina dan juga Hari Raya Aidilfitri.

Pada Selasa, KPDN masih menunggu kenyataan rasmi daripada PDB berhubung isu kekurangan bekalan diesel di stesen minyak syarikat berkenaan di negeri ini.

“KPDN Sarawak masih menunggu kenyataan rasmi daripada pihak Petronas Dagangan Berhad berhubung isu putus bekalan diesel yang berlaku di hampir kesemua stesen minyak miliknya di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, KPDN Sarawak melalui Bahagian Penguat Kuasa sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan ke atas semua stesen minyak.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *