Seorang Pelajar Selamat, Dua Masih Hilang Tragedi Perahu Karam

Pasukan penyelamat termasuk anggota bomba meneruskan pencarian pelajar hilang susulan kejadian perahu karam. Foto JBPM Sarawak
KUCHING, 20 Ogos – Dua pelajar perempuan hilang selepas perahu tambang yang mereka naiki karam ketika menyeberangi Sungai Kayan, di Kampung Selampit, Lundu, hari ini.
Ketika kejadian 6.10 pagi itu, difahamkan, 15 pelajar menaiki perahu berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.33 pagi.
Sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu diarah ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.
Menurutnya, dalam laporan awal yang diterima pihaknya, tiga pelajar dilaporkan hilang namun salah seorang berjaya ditemukan dengan selamat.
“Pencarian awal sudah dilancarkan oleh penduduk dan berjaya menemukan salah seorang mangsa iaitu Abraham Nyoeng, 16, dalam keadaan selamat.
“Anggota bomba kini meneruskan pencarian bersama dengan penduduk kampung untuk mengesan dua lagi pelajar perempuan iaitu Alsma Jithil, 14 dan Helena Fasha Petrus, 17,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

