Jabatan Pendidikan Siasat Guru Agama Hina Orang Asal

Tangkap layar komen seorang wanita dipercayai seorang guru di media sosial yang menyatakan penyokong DAP dan Umno hanya terdiri daripada taraf orang asli susulan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, semalam. Foto pembaca

SEREMBAN, 19 Ogos – Jabatan Pendidikan (JPN) Negeri Sembilan menyiasat tindakan seorang guru sekolah agama di negeri ini yang didapati membuat komen berunsur menghina Orang Asal (OA) di media sosial susulan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, kelmarin.

Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Negeri Sembilan, Putra Hashim berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana guru yang melanggar peraturan-peraturan yang berkuat kuasa.

“Siasatan lanjut akan dilaksanakan berdasarkan Subperaturan 19(1)(a), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [PU(A) 395/1993] berkaitan Pernyataan Awam, seseorang pegawai awam tidak boleh, secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain membuat pernyataan awam yang boleh memudaratkan apa-apa dasar, rancangan dan keputusan Kerajaan tentang apa-apa isu.

“Kes itu juga akan dirujuk pada para 5.3 (iii), Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bilangan 11 Tahun 2023 Garis Panduan Nilai dan Etika Penggunaan Media Sosial Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau turut mengingatkan kakitangan awam KPM tidak boleh membuat atau berkongsi sebarang pernyataan yang menyentuh perkara yang boleh menjejaskan imej dasar Kerajaan, maklumat yang tidak sahih, maklumat berbentuk fitnah, hasutan dan lucah.

“Oleh itu pemantauan akan dilaksanakan terhadap guru yang terbabit serta pelaporan akan dibuat oleh Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) JPN Negeri Sembilan,” katanya.

Terdahulu tular satu tangkapan layar komen seorang wanita di media sosial menyatakan penyokong DAP dan Umno hanya terdiri daripada taraf OA.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *