Selepas Palace, Everton Pula Ranap Impian Liverpool

Pemain Everton meraikan jaringan ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Liverpool di Goodison Park, Liverpool awal pagi tadi. Foto Reuters
LIVERPOOL, 25 Apr – Dua gol sumbangan Jarrad Branthwaite dan Dominic Calvert-Lewin memastikan kemenangan 2-0 ke atas Liverpool yang boleh dianggap sebagai penamat kepada harapan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (PL) bagi tetangga Merseyside itu.
Kemenangan pertama Everton dalam derbi Merseyside di Goodison Park selepas 13 tahun menghalang Liverpool daripada menyamai kutipan mata Arsenal di puncak liga.
Skuad kendalian Jurgen Klopp kini ketinggalan tiga mata di belakang Arsenal dengan empat perlawanan berbaki ditambah derita yang dilakukan kelab London, Crystal Palace di Anfield dua minggu lalu.
Juara bertahan Manchester City kekal di landasan terbaik untuk memenangi liga buat kali keempat berturut-turut – mengumpul 73 mata tetapi bermain kurang dua perlawanan berbanding dua pasukan teratas itu.

Kemenangan Everton meletakkan mereka semakin jauh dari zon penyingkiran – lapan mata di atas garis selamat di kedudukan ke-16.
Everton bermula cemerlang dan memenangi penalti apabila Calvert-Lewin dikasari penjaga gol Liverpool, Alisson, namun pelawat terselamat apabila VAR mengubah keputusan kepada ofsaid.
Bagaimanapun Branthwaite menggegarkan stadium lama itu pada minit ke-27 apabila dia menghukum kealpaan benteng Liverpool yang gagal mengeluarkan bola beberapa kali untuk gol pembukaan Everton.
Branthwaite adalah pemain Everton pertama berjaya membolosi gawang Liverpool sejak Demarai Gray dalam kekalahan liga 4-1 di laman sendiri pada akhir tahun 2021.
Calvert-Lewin menanduk masuk bola sepakan sudut untuk menggandakan kedudukan pada minit ke-58, dan Everton terus bertahan untuk memberikan Klopp kekalahan pertama di Goodison Park pada derbi terakhirnya.
“Ia lebih istimewa bukan? Derbi tempatan – saya berada di sini cukup lama untuk tahu ertinya buat peminat-peminat, maknanya buat saya.
“Kedudukan kami di dalam liga, kami memerlukan tiga mata berharga dan semuanya menjadi buat kami malam ini,” kata Calvert-Lewin. – REUTERS
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
