Sebar Berita Luar Konteks Juga Tak Bertanggungjawab!

Penyebaran berita di luar konteks pada 12 Mei 2026 seperti laporan media yang dipinda (yang akhirnya dipadam) bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah satu bentuk cubaan mensabotaj kerajaan.

PENDAPAT, 13 Mei – Kecoh seluruh negara ekoran laporan sebuah media tempatan semalam, mendakwa kerajaan kononnya mahu mengurangkan kuota 200 liter petrol di bawah inisiatif BUDI95 yang disifatkan sebagai tindakan tidak bertanggungjawab kerana menimbulkan kekeliruan serta keresahan dalam kalangan rakyat.

Kenyataan yang disebarkan di luar konteks itu jelas boleh mencetuskan persepsi negatif terhadap usaha kerajaan membantu golongan yang memerlukan melalui pelaksanaan subsidi bersasar.

Hakikatnya, tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat oleh kerajaan berkaitan pengurangan kuota tersebut. Namun, segelintir pihak termasuk media arus perdana (yang dikuasai elit politik tertentu) cuba memanipulasi kenyataan Liew Chin Tong sehingga memberi gambaran seolah-olah rakyat bakal kehilangan 50 liter petrol bersubsidi pada harga RM1.99 seliter.

Tak Benar Kerajaan Mahu Kurangkan Kouta BUDI95 – Chin Tong

Tindakan sedemikian bukan sahaja tidak beretika, gelojoh, malah boleh dianggap cubaan mensabotaj keyakinan rakyat terhadap dasar kerajaan yang berhempas-pulas memastikan kelangsungan bekalan bahan api bagi rakyat.

Pelaksanaan BUDI95 bertujuan memastikan subsidi petrol disalurkan secara lebih adil dan tersusun kepada golongan yang benar-benar layak iaitu warganegara Malaysia yang memiliki MyKad serta lesen memandu sah yang aktif dan bukan lagi kepada rakyat asing serta kenderaan luar negara.

Ia diperkuatkan lagi dengan kenyataan Anthony Loke Siew Fook bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah lama menyokong pembaharuan subsidi untuk membantu golongan rentan sambil mengurangkan subsidi bagi mereka yang berkemampuan.

Anthony Loke berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah lama menyokong pembaharuan subsidi untuk membantu golongan rentan sambil mengurangkan subsidi bagi mereka yang berkemampuan. Foto DAP

“Pada prinsipnya, ia betul. Pada prinsipnya, mereka yang berkemampuan harus membantu mereka yang tidak berkemampuan, supaya sesebuah masyarakat dapat harmoni.

“Tetapi sepanjang proses pelaksanaan, kita tahu ia akan menimbulkan banyak masalah. Itulah sebabnya apabila kita menetapkan dasar BUDI (BUDI95) sebelum ini, kita tidak membezakan antara T20, M40, dan B40; semua orang dapat.

“Pada masa ini, dasar BUDI95 sangat jelas. Jika anda seorang warganegara Malaysia dan mempunyai lesen memandu yang sah, anda layak mendapat subsidi di bawah BUDI,” tambahnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kuota bulanan BUDI95 kekal pada 200 liter setiap orang tanpa sebarang pengurangan, dan tidak dibezakan mengikut pendapatan.

Berikutan ketidak tentuan global yang mencabar serta turun naik harga minyak dunia ekoran konflik di Asia Barat, sudah pastilah kerajaan perlu mengurus subsidi secara berhemah tanpa menjejaskan kebajikan majoriti rakyat.

Justeru, sebarang penyebaran maklumat tidak tepat termasuk di luar konteks, hanya akan menimbulkan kegusaran yang tidak perlu, seolah-olah cuba ‘menghasut’ rakyat membenci kerajaan.

Penyebaran berita di luar konteks yang mengelirukan malah menimbulkan kemarahan rakyat juga suatu bentuk sabotaj terhadap mana-mana pihak, dalam konteks ini kerajaan walaupun ‘dipadam’ atau telah diturunkan.

Sepatutnya media sebagai organisasi menyampaikan maklumat sahih dan seimbang, bukannya mengejar trafik laman web atau ‘engagement’ di media sosial sehingga mengabaikan tanggungjawab menyampaikan yang benar kepada masyarakat.

Kita merasa kesal, di saat mereka ‘bising’ kepada kerajaan terutamanya kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil kononnya kuota 200 liter tidak mencukupi bagi mereka melaksanakan tugasan harian, tetapi ironinya segelintir mereka jugalah yang menyerang kerajaan dengan pelaporan berita tidak tepat di luar kontes sebenar yang disampaikan.

Iktibar daripada insiden ini, bahawa kononnya kerajaan mahu mengurangkan kuota petrol BUDI95 hanyalah spekulasi yang tidak berasas malah jauh tersasar namun ‘nasi sudah menjadi bubur’.

Permohonan maaf atau menurunkan kandungan provokasi berkenaan sudah tidak berguna lagi kerana rakyat sudah pun ‘termakan’ dengan berita asal yang disiarkan serta tersebar di laman media sosial.

Kita mendesak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) malah Majlis Media Malaysia (MMM) memanggil pengarang berita berkenaan bagi menegaskan, sebarang penyebaran berita di luar konteks juga merupakan satu kesalahan dari segi etika kewartawanan, berlepas diri daripada tanggungjawab dan menjejaskan imej serta reputasi pengamal media secara keseluruhan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *