Gaza: 43,000 Rakyat Palestin Derita Cedera Kekal Angkara Zionis Isra*l

Dianggarkan 43,000 daripada 172,000 rakyat Palestin yang cedera seperti Mustafa Nasr, 11 di Gaza sejak serangan rejim Israel pada Oktober 2023, mengalami kecederaan kekal. Foto Omar Ashtawy/APA
GENEVA, 13 Mei – Dianggarkan 43,000 daripada 172,000 rakyat Palestin yang cedera di Gaza sejak Oktober 2023, mengalami kecederaan kekal, termasuk kira-kira 10,000 kanak-kanak, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Bercakap kepada pemberita di Geneva, wakil WHO untuk wilayah Palestin yang diduduki, Reinhilde Van de Weerdt, berkata anggaran yang dikemas kini itu mencerminkan kesan jangka panjang konflik ke atas penduduk Gaza dan sistem penjagaan kesihatan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Sejak laporan terakhir WHO pada September 2025, tambahan hampir 5,000 kecederaan yang mengubah nyawa telah direkodkan, hampir separuh daripadanya selepas gencatan senjata diumumkan pada Oktober 2025, katanya.

Menurut data WHO, kecederaan anggota badan utama ialah kes tertinggi dengan lebih 22,000 direkodkan, diikuti lebih 5,000 amputasi traumatik, lebih 3,400 lecur besar, lebih 2,000 kecederaan saraf tunjang, dan lebih 1,300 kecederaan otak traumatik.
Lebih 50,000 kecederaan kini memerlukan pemulihan jangka panjang, kata Van de Weerdt.
Beliau berkata, hampir 14,000 pesakit mendaftar untuk perkhidmatan pembinaan semula anggota badan antara Julai 2025 hingga bulan ini, dengan hampir separuh daripada mereka yang dinilai memerlukan pembedahan tambahan.
Aktivis GSF Dipindah Ke Crete, Tapi Mahu Teruskan Pelayaran Ke Gaza
Sementara itu, disebabkan oleh kekurangan yang serius di Gaza, hanya 500 daripada 2,300 yang mengalami amputasi, dinilai antara September 2024 hingga bulan ini sudah menerima prostetik kekal.
Walaupun keperluan semakin meningkat, perkhidmatan pemulihan kekal sangat terhad, tanpa kemudahan pemulihan beroperasi sepenuhnya di Gaza, menurut WHO.
Van de Weerdt berkata, lebih 400 pesakit kini sedang menunggu untuk katil pemulihan khusus, memaksa hospital mengeluarkan pesakit awal dan meningkatkan risiko hilang upaya kekal.
Bantuan Kemanusiaan Malaysia Ke Gaza Adalah Sedekah Jariah – PM Anwar
Beliau juga memberi amaran bahawa tiada peralatan pemulihan memasuki Gaza sejak dua tahun lepas, manakala 18 penghantaran yang mengandungi kerusi roda, anggota palsu dan peranti pemulihan masih menunggu kelulusan.
“Rakyat Gaza sudah mengalami penderitaan yang tidak dapat dibayangkan.
“Mereka bukan sahaja berhak mendapat rawatan kecemasan, tetapi juga sokongan berterusan yang diperlukan untuk memulihkan dan membolehkan mereka menjalani kehidupan semula,” katanya. – BERNAMA-ANADOLU
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
