‘Sanggup Terjun Dari Tingkat Satu Elak Kena Cekup Malam Tahun Baharu’

Azmi semasa memeriksa dokumen pengenalan diri pengunjung pusat hiburan semasa serbuan terbabit. Foto ihsan PDRM
KOTA KINABALU, 2 Jan – Pengunjung di sebuah pusat hiburan di tingkat satu, KK Taipan, di sini bertempiaran lari semasa premis terbabit diserbu sepasukan polis dalam Operasi Ambang Tahun Baharu di sini.
Ketua JSJ Sabah, Senior Asisten Komisioner Polis (SAC) Azmi Abd Rahim berkata, sebahagian daripada pengunjung juga nekad terjun dari tingkat satu selain ada yang berpura-pura tidur dengan alasan mabuk semasa serbuan kira-kira jam 3.30 pagi itu.
“Operasi Noda (Pusat Hiburan) ini membabitkan pegawai dan anggota dari semua cawangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
“Serbuan dijalankan selepas polis menerima aduan awam mengenai pusat hiburan yang masih beroperasi walaupun masa yang ditetapkan sudah tamat,” katanya semasa ditemui di lokasi serbuan.
Operasi disertai Pegawai Turus D9 IPK Sabah, Superintendan Alhusin Halil.
Menurutnya, semasa serbuan dijalankan, premis terbabit masih beroperasi sebelum pasukan serbuan membuat pemeriksaan terhadap semua pekerja.

“Turut diperiksa pelanggan terdiri daripada 66 wanita dan 29 lelaki yang sedang berada dalam premis berkenaan.
“Pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) turut membuat ujian saringan air kencing kepada 10 lelaki dan semua mereka bebas daripada aktiviti penyalahgunaan dadah,” katanya.
Beliau berkata, penjaga premis wanita berumur 37 tahun ditahan kerana menjalankan operasi tanpa lesen hiburan awam serta beroperasi lebih masa.
“Turut ditahan enam lelaki dan tiga wanita berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun kerana tidak mempunyai dokumen keterangan diri yang sah.
“Pasukan serbuan merampas peralatan muzik yang digunakan dalam premis berkenaan. Rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut,” katanya.
Terdahulu, Azmi bersama pegawai dan anggota semua cawangan JSJ Kontinjen Sabah menjalankan rondaan termasuk pemantauan di sekatan Jalan raya (SJR) di Penampang dan Putatan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
