Seleweng Dana: SPRM Akan Panggil Bekas PM, Dua Pembantu

Seorang bekas Perdana Menteri dan dua pembantu dipercayai akan dipanggil SPRM dalam minggu ini bagi membantu siasatan berkenaan dakwaan berlaku penyelewengan dana. Foto Arkib
KUALA LUMPUR, 1 Jan – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil seorang bekas perdana menteri dan dua pembantu dalam siasatan ke atas tiga kes berasingan dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan dana.
Sumber memberitahu FMT, dua pembantu itu pernah berkhidmat untuk dua perdana menteri.
Satu siasatan akan memfokuskan kekayaan didakwa dikumpul isteri dan anak seorang bekas pegawai tertinggi, manakala siasatan kedua dikaitkan dengan sebuah syarikat petroleum dan ketiga berkaitan wang dibelanjakan untuk tujuan pengiklanan.
“Tiga individu ini akan dipanggil dalam minggu ini,” kata sumber itu.

Terdahulu, Utusan Malaysia hari ini melaporkan seorang Ahli Parlimen dari sebuah negeri Pantai Timur dan orang kanannya mungkin dipanggil SPRM bagi membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 serta Akta SPRM 2009.
Akhbar itu turut melaporkan seorang daripada individu itu didakwa memberikan projek membabitkan dana awam kepada individu tertentu ketika beliau memimpin negara.
Siasatan ke atas tiga individu itu menyusul siasatan SPRM terhadap bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin.
Daim sedang disiasat atas dakwaan rasuah dan pengubahan wang, serta Menara Ilham 60 tingkat di Kuala Lumpur, yang dilaporkan dimiliki beliau dan keluarganya, sudah disita berhubung siasatan itu.
Daim menafikan sebarang salah laku atau rasuah dan membidas Perdana Menteri, Anwar Ibrahim serta SPRM menyiasat dirinya dan keluarga.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
