Sampah Terbakar Melarat Ke Rumah Pekerja, Kenderaan

Pasukan bomba menjalankan operasi memadam kebakaran di lokasi kejadian pada 23 Mac 2026.

KOTA KINABALU, 24 Mac – Kebakaran longgokan sampah di hadapan sebuah stor penyimpanan di Kampung Kiambalang, Inanam merebak sehingga menjejaskan sebuah rumah pekerja serta tiga kenderaan terbiar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherriyana Bohari berkata, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 3.22 petang sebelum jentera digerakkan ke lokasi.

Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira tujuh minit kemudian selepas menempuh jarak enam kilometer.

“Kebakaran melibatkan longgokan sampah di hadapan stor penyimpanan jenis fiber berkeluasan kira-kira 40 x 130 kaki.

“Api kemudian merebak ke sebuah rumah pekerja jenis tidak kekal yang mengalami kemusnahan dianggarkan 30 peratus selain turut membakar tiga kenderaan terbiar di kawasan berhampiran,” katanya.

Katanya, 11 anggota daripada BBP Lintas terlibat dalam operasi pemadaman dengan bantuan dua jentera iaitu sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan Light Fire Rescue Tender (LFRT).

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan empat pancutan air dari sumber jentera.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.05 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.55 petang selepas pemeriksaan memastikan tiada lagi punca bahaya di lokasi.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini,” katanya.

Oleh Vivi Olviana Najarus

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *