Rugi Lebih RM120,000 Kena Tipu Dalam Talian

Mangsa dijanjikan memperolehi kereta namun merasa terpedaya apabila diminta untuk memasukkan wang sedangkan kereta yang dijanjikan tidak diterima. Foto Arkib
KUCHING, 21 Ogos – Seorang pengurus sebuah syarikat swasta di Kuching berusia 40-an berputih mata kerugian lebih RM120,000 selepas menjadi mangsa penipuan pembelian kereta dalam talian.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mancha Ata berkata, kejadian berlaku awal Ogos lalu apabila mangsa tertarik dengan satu iklan jualan kereta di laman Facebook sebelum menekan pautan yang diberikan.
“Mangsa kemudian dihubungkan melalui aplikasi WhatsApp dengan seorang lelaki yang menyamar sebagai ejen sebuah syarikat.
“Suspek telah memperdaya mangsa untuk membuat beberapa transaksi wang secara berperingkat ke dalam akaun bank yang diberikan, berjumlah lebih kurang RM120,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa hanya menyedari ditipu apabila suspek terus meminta bayaran tambahan kononnya untuk meneruskan proses pembelian sedangkan kenderaan yang dijanjikan tidak diterima sehingga laporan polis dibuat.
Sehubungan itu, Mancha menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan iklan jualan murah di media sosial tanpa membuat penelitian terlebih dahulu.
Orang ramai disarankan membuat semakan latar belakang syarikat atau laman sesawang yang meragukan melalui portal rasmi Bank Negara Malaysia (www.bnm.gov.my / BNM Telelink 1-300-88-5465) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (www.sc.com.my / 03-62048999) sebelum melakukan sebarang transaksi.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


