RM7.6 Juta Rampasan Dadah Direkod Lebih Dua Bulan Pertama Tahun Ini – Mancha

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mancha Ata. Foto Arkib

KUCHING, 8 MacPolis Sarawak merekodkan rampasan dadah bernilai lebih RM7.6 juta bagi tempoh Januari hingga 6 Mac di seluruh negeri setakat ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mancha Ata berkata, operasi yang dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak itu turut mencatatkan tangkapan seramai 2,312 orang dengan 154 daripadanya disyaki pengedar dadah.

“Sepanjang tempoh Januari hingga 6 Mac, kita telah melaksanakan 2,312 tangkapan termasuk 154 tokan dadah serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM7,624,751 dan menyita harta disyaki hasil pendapatan pengedaran dadah bernilai RM557,294.

“Justeru Polis Kontinjen Sarawak, khususnya JSJN akan terus berusaha membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mancha Ata. Foto Arkib

Menurutnya, Operasi Tapis Khas yang dijalankan selama dua hari bermula 4 Mac lalu di seluruh negeri merekodkan 342 pemeriksaan yang menghasilkan 282 tangkapan terdiri daripada 273 lelaki dan sembilan wanita berusia lingkungan 17 hingga 56 tahun.

Jelasnya, tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan berkaitan dadah termasuk 29 daripadanya disyaki pengedar dadah.

“Dalam operasi ini, sebanyak kira-kira 656 gram pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM42,911 dirampas.

“Jumlah dadah yang dirampas ini dipercayai boleh digunakan oleh 2,459 penagih dadah,” katanya.

Mancha selain itu turut memberitahu objektif operasi adalah untuk mengesan dan menangkap pengedar dadah, memusnahkan sarang-sarang penagih dadah, mengambil tindakan ke atas penagih dadah tegar dan mengesan serta menangkap orang yang dikhendaki polis.

“Operasi juga bertujuan mengambil tindakan pencegahan ke atas pengedar dadah yang telah dikenal pasti,” tegasnya.

Polis berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah yang berlaku di sekeliling mereka.

“Maklumat boleh disalurkan melalui hotline JSJN di talian 012-2087222,” ujar Mancha.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *