PM Anwar Mahu KPDN Terus Banteras Penyelewengan Diesel Subsidi Nelayan

Hantaran di Facebook Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memuji tindakan KPDN membanteras penyelewengan diesel subsidi untuk nelayan.
KUALA LUMPUR, 9 Mac – Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) teruskan usaha membanteras sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi nelayan.
Perdana Menteri juga memuji komitmen tinggi ditunjukkan kementerian itu dan polis dalam menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi nelayan.
“Tahniah KPDN & PDRM! Teruskan banteras, pastikan hak nelayan tidak dirampas petualang!,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu KPDN dalam kenyataannya memberitahu pihaknya berjaya menyita sejumlah 2.264 juta minyak diesel bersubsidi bernilai RM5.391 juta dalam Ops Tiris pada 1 Januari hingga Rabu lalu.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, dalam operasi itu sebanyak 9,093 premis diperiksa di seluruh negara dengan 245 kertas siasatan dibuka.
Dalam tempoh yang sama, Armizan berkata, nilai rampasan membabitkan lain-lain peralatan, kenderaan dan sebagainya adalah bernilai RM12,461,938.00 menjadikan jumlah keseluruhan sitaan di bawah OPS TIRIS 3.0 bagi kes-kes diesel ialah RM17,85 juta.
Terkini, beliau berkata, KPDN berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan diesel bersubsidi nelayan yang dianggarkan berjumlah RM187,350 menerusi serbuan bersama PDRM ke atas premis yang disyaki menjadi stor haram tempat penyimpanan dan pemindahan minyak diesel bersubsidi nelayan di Sungai Besar, Selangor.
“Hasil serbuan dan pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan premis itu, pasukan penguat kuasa menyita sejumlah 24,875 liter minyak diesel dan peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan.
“Seramai tiga orang lelaki warga tempatan berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun ditahan disyaki wakil pemilik premis, pemandu kenderaan dan penjaga premis,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
