Remaja Disyaki Edar, Salah Guna Dadah Ditahan

Suspek ditangkap dan dadah yang dirampas untuk siasatan lanjut.
BAU, 8 Mar – Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun diberkas kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bau DSP Dr Daram Ruer berkata, anggotanya dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) menjalankan serbuan ke atas sebuah pondok di Kampung Skibang, di sini sekitar jam 2.20 petang.
Menurutnya, hasil pemeriksaan telah menemui suspek yang dilihat mencurigakan.
“Pemeriksaan lanjut telah menemui lapan peket plastik lutsinar, masing-masing berisi ketulan kristal disyaki dadah.
“Suspek kemudian ditahan dan dadah tersebut dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan.
Keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan seberat 5.30 gram dan bernilai sekitar RM500.
Tambahnya, hasil saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah.
Susulan itu katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39A (1) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
