Elak Spekulasi Tujuan SPRM Rakam Keterangan Doktor Rawat Ismail Sabri

Ismail Sabri ketika meninggalkan Istana Negara pada 21 November 2022 sebelum Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November.

PUTRAJAYA, 8 Mar – Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi negatif berhubung tujuan pasukan penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merakam keterangan doktor yang merawat Ismail Sabri Yaakob.

Ini kerana tugas mereka adalah bagi mengetahui tahap kesihatan Ahli Parlimen Bera itu dan bukannya memberi tekanan kepada doktor yang merawatnya sebelum keterangan beliau direkodkan pada Khamis depan.

Menurut sumber, proses temu bual itu dijalankan bermula kira-kira pukul 3.30 petang Jumaat di sebuah hospital tempat pegawai perubatan tersebut bekerja.

Ismail Sabri dirawat di hospital dan doktor memberinya sijil sakit sehingga 12 Mac ini.

Semalam, SPRM menangguhkan sesi rakaman keterangan Ismail Sabri yang dijadualkan hari ini susulan cuti sakit beliau dilanjutkan sehingga 12 Mac ini.

SPRM memaklumkan ia turut dilakukan bagi mengetahui tahap kesihatan Ismail Sabri sama ada benar-benar berada dalam keadaan baik dan sihat setelah menerima sijil sakit sehingga 12 Mac ini.

Tambah sumber SPRM memaklumkan, pegawai perubatan itu bukan saksi dalam siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan bekas perdana menteri berkenaan.

“SPRM mengambil berat kesihatan bekas Perdana Menteri itu selain mengenal pasti penyakit yang dihadapi beliau,” kata sumber.

Terdahulu, Ismail Sabri dijadual hadir ke Ibu Pejabat SPRM di sini pada 5 Mac untuk memberi keterangan namun tidak dapat berbuat demikian kerana masalah kesihatan dan diberikan sijil cuti sakit sehingga 12 Mac ini.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika berkata, Ismail Sabri dijangka diambil keterangan pada 13 Mac sekiranya kesihatan beliau berada dalam keadaan baik.

Bekas Naib Presiden Umno itu hadir ke pejabat SPRM untuk memberikan keterangan pada 19 Februari lalu berhubung penemuan lebih RM177 juta dalam pelbagai bentuk termasuk wang tunai yang dikaitkan dengan bekas pegawainya ketika menjadi Perdana Menteri ke-9.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *