Qatar Benam Iran, Mara Ke Perlawanan Akhir Piala Asia

Pemain sensasi Qatar, Akram Afif meraikan gol bersama rakan sepasukan selepas menewaskan Iran 3-2 sebentar tadi. Foto AFC

DOHA, 8 FebJuara bertahan, Qatar mempamerkan semangat juang tinggi untuk mara ke pentas final Piala Asia buat kali kedua berturut-turut selepas menewaskan pasukan di ranking ke-21, Iran 3-2  pada aksi separuh akhir sebentar tadi.

Pada perlawanan di Stadium Al Thumama itu, skuad Team Melli dilihat tidak mempunyai masalah untuk mendahului seawal minit keempat menerusi ledakan penyerang kelab AS Roma, Sardar Azmoun.

Tersentak dengan gol tersebut, Qatar memperkemaskan jentera serangan dan tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan menerusi penyudah Jassem Gaber Abdulsallam pada minit ke-17.

Skuad tuan rumah semakin ghairah dalam usaha memburu gol kedua apabila menggandakan asakan ke kubu Iran dan kini giliran Akram Afif mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-43.

Pemain sensasi Qatar, Akram Afif meraikan gol bersama rakan sepasukan selepas menewaskan Iran 3-2 sebentar tadi. Foto AFC

Bersambung pada separuh masa kedua, Iran dilihat tampil lebih garang dalam menguasai perlawanaan dan tekanan yang dilakukan berhasil apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-51.

Kesempatan itu digunakan sebaiknya oleh kapten, Alireza Jahanbakhsh untuk menyamakan kedudukan 2-2 ketika perlawanan masih berbaki 40 minit.

Namun, kesilapan di benteng pertahanan memakan diri apabila penyerang sensasi tuan rumah, Almoez Ali meledak gol kemenangan pada minit ke-82 untuk memastikan penyokong pelawat tergamam.

Ketika memasuki masa kecederaan, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dengan Qatar mensia-siakan beberapa peluang keemasan untuk meraih jaringan keempat manakala rembatan Jahanbakhsh pula sekadar menggegarkan tiang gol.

Keputusan 3-2 kekal sehingga wisel penamat dengan Qatar bakal menentang Jordan pada aksi final yang bakal berlangsung, Sabtu ini.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *