PRU-15 – Rafizi Bawa Perubahan Besar Dalam KEADILAN, Pakatan Harapan

PENDAPAT, 14 Okt – Sedar tak sedar, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) hari ini telah berusia 23 tahun, secara relatifnya ia masih muda sekiranya dibandingkan dengan parti-parti politik arus perdana yang lain.
Pun begitu, dengan usia yang masih dikira ‘hijau’, menetapkan sebuah parti yang berteraskan reform sebagai asas perjuangan, KEADILAN sentiasa melakukan pembaharuan demi menarik minat rakyat yang terdiri dari pelbagai latar belakang.
Pada tahun 2014, saya menyaksikan satu pembaharuan yang berani dikemukan oleh Saudara Rafizi Ramli selaku Setiausaha Agung parti ketika itu, iaitu sistem pendaftaran anggota parti diperkenalkan dan dilaksanakan secara atas talian.
Saya masih ingat semasa zaman pendaftaran menggunakan borang manual, sering menghadapi masalah pentadbiran dan pengumpulan data.
Kertas yang diproses secara manual, kerap terdapat kesalahan pada butiran permohonan. Ada kalanya borang yang dihantar tidak sampai ke ibu pejabat.
Pada masa itu, tidak ada mana-mana parti politik yang menjalankan kaedah pendaftaran seperti ini. Oleh kerana pendaftaran mula dilaksanakan secara digital, kelulusan dapat diberi dalam tempoh yang cepat.
Pada tahun 2018 pula, KEADILAN juga memperkenalkan pemilihan parti dengan menggunakan sistem pengundian secara digital – juga satu idea yang baru pada masa itu.
Walaupun diakui terdapat banyak isu teknikal dan kes perselisihan berlaku pada tempoh pemilihan, namun penggunaan tablet amat berjaya kerana ia mampu mengurangkan proses manual dan mencapai kadar ketepatan yang tinggi.
Dan sekali lagi pada tahun ini, KEADILAN juga meneruskan reformasi dalam proses pemilihan dengan memperkenalkan kaedah pengundian melalui aplikasi ADIL bagi pengundi atas talian (PAT).
Di ambang PRU 15 pula, jentera pilihan raya KEADILAN telah diwajibkan untuk mengguna aplikasi CISTA sebagai sistem pengurusan pilihan raya berpusat. Satu lagi pembaharuan telah berjaya dilaksanakan Rafizi yang kini menjadi Timbalan Presiden parti.
Sebuah parti politik seharusnya sentiasa mencetuskan idea radikal dan melaksanakan teknologi baharu supaya menjadi contoh ikutan kepada parti-parti politik lain di negara ini.

Hari ini, saya percaya hampir semua parti politik di Malaysia telahpun melaksanakan pendaftaran secara atas talian seperti yang telah dilaksanakan KEADILAN hampir sembilan tahun lalu.
Malah KEADILAN lebih ke hadapan berbanding Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kerana parti telah pun menjadi perintis melaksanakan pengundian secara atas talian.
Ada kemungkinan satu hari ini, Malaysia mengguna kaedah pengundian ini untuk tujuan pilihan raya umum mahupun negeri.
Contohnya dapat dilihat dengan penggunaan aplikasi MySejahtera, bukan sahaja digunakan untuk mendapat vaksin Covid 19, tetapi telah ditambah dengan fungsi untuk mendaftar pendermaan organ dan membuat temujanji menderma darah.
Saya boleh bayangkan, aplikasi seumpama ini dapat ditambah fungsi bagi membolehkan lebih 20 juta pemilih, mengundi dalam pilihan raya kelak.
Tidak dapat dinafikan, dalam dunia nyata yang tidak sempurna ini, pasti wujud kepincangan dalam dalam mana-mana proses walaupun adanya sistem paling canggih sekalipun.
Oleh kerana prinsip dan disiplin yang tidak cukup kental, ia mewujudkan elemen feudelisme dan panglima perang di mana-mana organisasi, termasuk parti politik.

Namun, selama saya memegang jawatan Ketua Cabang Wangsa Maju untuk penggal kedua, saya telah melihat banyak perkembangan dari segi kualiti ahli dan penambah baikan proses dalaman parti. Parti kini lebih telus dan efektif; misalnya dalam segi keanggotaan dan baru-baru ini penyerahan borang pencalonan untuk bertanding sebagai wakil rakyat turut dilaksanakan secara atas talian.
Pada 6 Oktober lalu, Rafizi telah mencetuskan anjakan paragidma (paradigm shift) dengan kaedah baru pencalonan yang dijalankan atas talian (calonkeadilan.org) Kaedah sebegini memeranjatkan semua pihak, kerana ia memerlukan setiap individu yang ingin menjadi calon untuk mengisi borang secara atas talian. Ramai yang mungkin mempersoalkan adakah butiran yang dihantar diterima dengan selamat?
Namun sebagai seorang ahli korporat, saya mampu menyesuaikan diri untuk mempercayai proses dan prosedur piawaian yang telah digariskan memastikan maklumat yang dihantar oleh calon potensi, tidak boleh digodam dan sebagainya.
Saya percaya setiap orang wajar diberi peluang dengan menggunakan meritokrasi sebagai asas pertimbangan. Dengan kaedah ini, budaya kipas mengipas dam lobi-melobi tidak lagi akan berlaku – menurut kenyataan Rafizi dalam sidang akhbar pelancaran portal pencalonan atas talian.
Beliau menjelaskan secara terpeinci dan telah dikongsikan dalam sidang media tersebut, termasuk kriteria calon dari segi khidmat masyarakat, jawatan dalam parti, kesungguhan untuk mengadaptasi aplikasi CISTA, dan banyak lagi.

Dengan kaedah ini, tidak lagi ada pengaruh mana-mana pihak, gejala lobi jawatan dan budaya ‘siapa anda kenal’. Ramai di kalangan kenalan saya, memuji baik usaha Rafizi dalam proses pemantapan parti.
Selain telus, calon luar yang ingin ‘mengintai’ kerusi tertentu pasti berfikir seratus kali mahu bertanding di kerusi yang terlalu asing baginya, belum lagi dikira tiada satu pun gerak kerja lapangan yang dilakukannya.
Inilah yang membezakan KEADILAN dengan parti lain contohnya Umno yang masih menggunakan kaedah ‘warlord’ atau pencalonan daripada Ketua Bahagian yang mencetuskan polemik boikot, sabotaj dan tikam-menikam sehingga nama calon diumumkan.
Kita mesti menghargai pelaksanaan yang dilakukan Rafizi dalam mengangkat usaha mereformasikan parti yang tertangguh sekian lama akibat tindakan Azmin Ali merosakkan parti dari dalam hinggalah peristiwa ‘Langkah Sheraton’ yang menjadi titik tolak perubahan dalam parti sehingga kini.
Sebelum kemenangan KEADILAN dalam PRU15, parti telah pun menang di hati masyarakat. Sekurang-kurangnya, KEADILAN telah maju ke hadapan dalam banyak pembaharuan, yang melayakkan ia menjadi sebuah parti politik yang matang dan mampu menerajui pucuk pimpinan negara di bawah Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
* Andre Lai merupakan Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju dan Naib Pengerusi MPM Wilayah Persekutuan. Beliau merupakan salah seorang yang telah menghantar borang pencalonan untuk kawasan Parlimen Wangsa Maju. Pandangan beliau tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Media Rania
