Polis Tumpaskan Sindiket Edar Dadah Warga Asing

Empat lelaki warga asing diberkas dalam serbuan di sebuah pondok pekerja di Ladang Kemajuan Ruta, Jalan Jeroco pada 26 Jun 2025. Foto PDRM

LAHAD DATU, 27 Jun – Polis menumpaskan kegiatan sindiket pengedaran dadah yang turut menyimpan senjata berbahaya, apabila empat lelaki warga asing diberkas dalam serbuan di sebuah pondok pekerja di Ladang Kemajuan Ruta, Jalan Jeroco, di sini semalam.

Serbuan kira-kira jam 4.30 petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu hasil maklumat risikan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, semua suspek berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan 62.35 gram dadah disyaki syabu yang dianggarkan bernilai RM6,858.50 serta beberapa senjata berbahaya.

“Turut dirampas lima butir peluru penabur, satu laras senapang angin dan satu bilah pedang samurai yang dipercayai digunakan untuk tujuan perlindungan dan aktiviti jenayah.

“hasil ujian saringan awal air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 7(1)(A) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

Jimmy berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket pengedaran serta sumber bekalan dadah terbabit.

“Pihak polis akan terus memperhebat operasi bagi membanteras kegiatan pengedaran dadah dan pemilikan senjata api secara haram, khususnya melibatkan warga asing tanpa dokumen,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *