Polis Terus Buru Suspek Tembakan Ke Premis Bank

Lokasi dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal dipercayai terlibat dalam insiden itu, dengan seorang daripada mereka melepaskan satu das tembakan menggunakan senjata api yang dipercayai jenis pistol pada 15 Februari 2026. Foto Akun Giman
SIBU, 17 Feb – Polis terus memburu dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian tembakan ke arah sebuah premis bank di Jalan Lanang di sini, kelmarin, sehingga menyebabkan pintu kaca premis berkenaan pecah.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berhubung insiden berkenaan pada jam 3.01 petang 15 Februari lalu.
Menurutnya, berdasarkan keterangan saksi, dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal dipercayai terlibat dalam insiden itu, dengan seorang daripada mereka melepaskan satu das tembakan menggunakan senjata api yang dipercayai jenis pistol sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian, pihak polis telah menjumpai satu kelongsong peluru dan satu butir peluru hidup yang dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan media, pada Ahad.
Zulkipli berkata tiada mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dalam kejadian itu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan,” tegasnya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

