Polis Tahan Suspek Serang Individu Guna Mug Kaca

Lelaki yang menyerang mangsa menggunakan mug kaca ditahan pada Selasa.
TAWAU, 19 Jun – Polis menahan seorang lelaki tempatan disyaki terbabit dalam kes mencederakan seorang individu menggunakan mug kaca di sebuah kafe di Kubota, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sebelum itu, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada mangsa.
Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa sedang minum bersama rakannya sebelum secara tiba-tiba dipukul di bahagian kepala oleh suspek menggunakan sebuah mug kaca.
“Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berhubung kejadian itu,
“Bertindak atas laporan, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tawau berjaya menahan suspek di kawasan Jalan St Patrick, Tawau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, suspek berusia lingkungan 45 tahun itu kini ditahan di balai polis untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya,” katanya.
Jasmin menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan ganas yang mengganggu ketenteraman awam dan keselamatan orang ramai.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

