Polis Siasat Kes Lelaki Maut Dihempap Batang Simen

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Foto IPD Kuching

KUCHING, 21 Sep – Seorang lelaki tempatan maut selepas dihempap batang simen di sebuah tapak pembinaan berhampiran sebuah hospital swasta di sini, pagi Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.16 pagi itu, mangsa, 33, yang sedang bekerja di tapak pembinaan berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian tersebut sebelum sepasukan anggota dari Balai Polis Sungai Maong digerakkan ke lokasi.

“Siasatan awal mendapati batang simen itu sedang dinaikkan ke tingkat lima bangunan terbabit sebelum ia terjatuh dari tingkat dua lalu menghempap mangsa.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HUS untuk dibedah siasat.

Katanya, polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian dan pihaknya menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.

Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Ketua Balai Polis Sungai Maong Inspektor Awang Ramzi Awang Junaidi di talian 019-8444123 atau menghubungi Balai Polis Sungai Maong (082-241167).

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan sensitiviti keluarga mangsa,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *