Perebutan Harta Dipercayai Punca Wanita Mati Dibunuh

Penemuan mayat seorang wanita dalam kenderaan suspek yang menikam dan menembak anggota polis di Simpang Pulai pada 7 September 2025.
TELUK INTAN, 20 Sep – Perebutan harta dipercayai menjadi punca seorang wanita dibunuh yang mayatnya dijumpai dalam kenderaan suspek yang menikam dan menembak anggota polis di Simpang Pulai, 7 September lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, siasatan mendapati kesemua sembilan suspek yang ditahan reman sebelum ini mempunyai hubungan kekeluargaan.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada suspek yang masih bebas itu merupakan dalang utama dalam kejadian pembunuhan tersebut.
“Suspek telah dikenal pasti dan usaha sedang dijalankan bagi mengesannya. Kita juga sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung penglibatan suspek dalam kejadian itu.
“Setakat ini, pistol yang digunakan dalam kejadian menembak anggota polis juga belum dijumpai,” katanya ketika ditemui pada Program Terpaling Pahlawan Menara Condong Unity Challenge 2025 di Padang Speedy, di sini hari ini.
Mengulas mengenai kemungkinan suspek melarikan diri, Noor Hisam berkata, semakan dengan Jabatan Imigresen mendapati tiada rekod, namun tidak menolak kemungkinan suspek menggunakan lorong tikus untuk meloloskan diri.
Dalam pada itu beliau turut memaklumkan bahawa anggota polis yang cedera akibat ditembak suspek masih dirawat di hospital dan stabil.
Dalam kejadian pada pukul 1.15 pagi itu, seorang anggota polis cedera selepas ditikam dan ditembak seorang lelaki ketika menjalankan tugasan Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) di kawasan Simpang Pulai.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


