Polis Marin Cemerlang Patahkan Lagi Cubaan Seludup 16,000 Liter Diesel

Pasukan Polis Marin Wilayah 5 memeriksa kapal tangki berkenaan yang ditahan di jeti Lembaga Sungai-Sungai Sarawak di Kuala Baram selepas sidang media pada 16 April 2026.

MIRI, 16 Apr – Pasukan Polis Marin (PPM) terus cemerlang di lapangan apabila pasukan Wilayah 5 Miri apabila taktik menyeludup 16,000 liter minyak diesel bersubsidi tumpas setelah sebuah kapal tangki ditahan dalam operasi rondaan di perairan Sungai Baram, Selasa lalu.

Komander PPM Wilayah 5 Sarawak ACP Abdul Rahman Mat Hasan berkata, penahanan itu dilakukan sepasukan anggota Botronda PSC 44 Markas Taktikal PPM Miri sekitar jam 10.56 pagi ketika melaksanakan Ops Taring Pensura (Ops Tiris) bagi membanteras ketirisan dan penyelewengan minyak diesel.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas kapal tangki berkenaan mendapati ia membawa muatan lebih kurang 16,000 liter minyak diesel yang disimpan dalam ruang penyimpanan dan dipercayai cuba diseleweng.

“Ketika ditahan, kapal itu dinaiki seorang juragan warga tempatan berusia 39 tahun dan seorang kru warga China berusia 45 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati juragan dan kru warga asing terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen, permit atau surat kebenaran bertulis daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berhubung pemilikan atau penyimpanan barang kawalan itu,” katanya pada sidang media di Kuala Baram, petang tadi.

Berikutan itu, kedua-duanya telah ditahan dan kru warga asing terbabit akan disiasat lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai permit kerja sah walaupun memiliki pasport.

Abdul Rahman berkata, kes diserahkan kepada pihak KPDN Miri untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki dan membawa barang kawalan tanpa permit sah.

“Selepas proses dokumentasi selesai, kes diserahkan kepada pihak KPDN Miri untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Menurut beliau, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM2.6 juta termasuk kapal manakala nilai minyak diesel sahaja dianggarkan RM107,520 berdasarkan harga semasa industri.

Mengulas lanjut Abdul Rahman berkata, tindakan itu selaras dengan penubuhan pasukan petugas khas yang diumumkan Perdana Menteri pada 13 April lalu bagi menangani penyelewengan diesel di Sarawak.

Menurutnya, sebanyak 26 agensi terlibat dalam pasukan petugas berkenaan bagi memperkukuh penguatkuasaan dan memastikan ketirisan subsidi dapat dibanteras secara menyeluruh.

“Sekiranya kapal tersebut mempunyai dokumen lengkap, ia bukan satu kesalahan, namun tindakan tegas diambil kerana gagal mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pihaknya akan terus mempergiat operasi dan bekerjasama dengan semua agensi berkaitan bagi membendung aktiviti penyelewengan bahan api bersubsidi di negeri ini.

Dalam pada itu, individu yang didapati bersalah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi kesalahan berulang, denda boleh meningkat sehingga RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun.

Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah RM2 juta dan meningkat sehingga RM5 juta bagi kesalahan berulang.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Timbalan Komander PPM Wilayah 5 Sarawak Superintenden Rusdin Banin, Pegawai Pemerintah Markas Taktikal PPM Miri ASP Pangji Eseng dan Ketua Cawangan KPDN Miri Englebert Inggath Desmond Japar.

Oleh Rosemaria Buma

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *