PM Anwar Tidak Wajar Dipersalahkan Atas Serbuan LHDN Ke Kediaman Hamzah – Andre Lai

KUALA LUMPUR, 16 Jun – Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak seharusnya dipersalahkan ekoran tindakan pegawai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyerbu kediaman Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Selasa lalu.
Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Andre Lai ketika diminta mengulas isu berkenaan berkata, Perdana Menteri tidak wajar dituduh mengarahkan mana-mana agensi dan pihak berkuasa menjalankan tugas rasmi bagi setiap maklumat dan rekod yang diperolehi.
“Saya kesal apabila Datuk Seri Anwar pula dituduh mengarahkan serbuan itu sedangkan beliau sendiri tidak tahu-menahu tentang tindakan sepasukan pegawai LHDN menggeledah kediaman Ketua Pembangkang tempoh hari.

“Saya juga ingin berpesan kepada mana-mana pihak agar tidak mempolitikkan serbuan ini kerana ia merupakan prosedur biasa mana-mana agensi penguatkuasa menjalankan operasi berdasarkan maklumat yang mereka miliki,” katanya.
Beliau juga menyeru agar pihak berkuasa diberi ruang menjalankan tugas mereka secara profesional tanpa gangguan politik atau dituduh ia bermotifkan politik.
”Sudah pasti pihak berkuasa termasuk LHDN akan memberi perkembangan terkini berhubung serbuan berkenaan dan siasatan yang sedang dibuat sudah pasti mengikut prosedur menurut lunas undang-undang dan perlembagaan,” tambahnya.
Terdahulu, Perdana Menteri mengakui beliau tidak mengetahui serbuan dan penggeledahan oleh para pegawai LHDN di rumah bekas Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Larut itu adalah urusan agensi berkenaan selaku badan penyiasat.
“Itu urusan LHDN, urusan badan-badan penyiasat dan saya tidak dimaklumkan,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya.

Difahamkan serbuan berkenaan yang dilakukan di Bukit Damansara pada Selasa lalu dipercayai berkaitan isu cukai yang tidak dilaporkan kepada lembaga itu selaku pemungut cukai bagi kerajaan.
Hamzah pula dipercayai turut berada di kediaman berkenaan ketika serbuan dibuat.
Perdana Menteri sebelum ini berulang kali menyatakan bahawa beliau tidak mencampuri urusan siasatan dan tindakan yang dilakukan agensi penguatkuasa seperti LHDN atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pemimpin Perikatan Nasional (PN) pula melihat tindakan itu satu bentuk ‘serangan’ menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) namun tidak dapat memberi alasan kukuh punca sebenar mengapa kediaman Hamzah diserbu dan dokumen apakah yang telah dirampas bagi tujuan siasatan.
