Serbuan LHDN Ke Atas Kediaman Hamzah Tidak Dimaklumkan Kepada PM Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni kanak-kanak yang bersolat Jumaat selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya. Foto Facebook Anwar Ibrahim.
CYBERJAYA, 16 Jun – Serbuan yang dilakukan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atas kediaman Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak dimaklumkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menjelaskan perkara itu, Perdana Menteri berkata, serbuan dan penggeledahan oleh para pegawai LHDN di rumah bekas Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Larut itu adalah urusan agensi berkenaan selaku badan penyiasat.
“Itu urusan LHDN, urusan badan-badan penyiasat dan saya tidak dimaklumkan,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya.

Difahamkan serbuan berkenaan yang dilakukan di Bukit Damansara pada Selasa lalu dipercayai berkaitan isu cukai yang tidak dilaporkan kepada lembaga itu selaku pemungut cukai bagi kerajaan.
Hamzah pula dipercayai turut berada di kediaman berkenaan ketika serbuan dibuat.
Perdana Menteri sebelum ini berulang kali menyatakan bahawa beliau tidak mencampuri urusan siasatan dan tindakan yang dilakukan agensi penguatkuasa seperti LHDN atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri juga menafikan khabar angin bahawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercuti selama dua minggu.
“Tak ada pula (dimaklumkan Ahmad Zahid bercuti),” kata Anwar ketika ditanya pemberita selepas selesai solat Jumaat.
Terdahulu beliau menikmati jamuan tengah hari di Foodcourt Sports Arena di sini bersalaman dengan para pengunjung medan selera itu.
