PM Anwar Lulus Peruntukan Segera RM3 Juta Atasi Isu Bekalan Air Di UMS

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan para mahasiswa semasa program Temu Anwar di UMS, Kota Kinabalu hari ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim.

KOTA KINABALU, 31 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan segera sebanyak RM3 juta untuk membantu Universiti Malaysia Sabah (UMS) menangani isu kekurangan bekalan air yang dihadapi warga kampusnya, di sini.

Beliau mengumumkan peruntukan itu ketika menjawab soalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS, Jeeva Cassandra Abdul Mumin pada sesi soal jawab Temu Anwar di Dewan Canselor UMS, di sini, petang tadi.

Beliau berkata, jumlah itu bagi membiayai usaha UMS menangani masalah air di kampus induknya di sini, termasuk menggunakan sumber air bawah tanah, tuaian air hujan dan air bukit.

“Saya lulus RM3 juta untuk (menangani masalah air) di UMS sebab saya tidak mahu anak-anak UMS dalam keadaan sukar, nak mandi susah, belajar susah.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan para mahasiswa semasa program Temu Anwar di UMS, Kota Kinabalu hari ini. Foto Facebook Anwar Ibrahim.

“Dalam beberapa hari ini kita pastikan wang ini disalur. Jangan ganggu mahasiswa, jangan ganggu staf dengan masalah yang membebankan ini,” katanya.

Kira-kira 5,000 pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) dari sekitar Kota Kinabalu, selain Majlis Belia Sabah (MBS) dan orang awam menghadiri sesi Temu Anwar yang bermula 5 petang hingga kira-kira 6.30 petang tadi.

Turut mengikuti program itu ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansur.

Program itu dianjurkan bersama oleh UMS dan Anwar Ibrahim Club (AIC).

Isu air adalah antara soalan yang dibangkitkan peserta program berkenaan, selain isu harga tiket penerbangan Semenanjung – Sabah yang mahal, prasarana di IPT dan masa depan golongan mahasiswa.

Difahamkan, UMS terpaksa mencari bekalan air alternatif termasuk membina sistem perpaipan dengan perbelanjaan hampir RM700,000 berikutan kekurangan bekalan air yang sedang dialami pengguna di bahagian utara Kota Kinabalu atau Parlimen Sepanggar ketika ini.

Isu air yang dihadapi Sabah akan dibincangkan pada mesyuarat tertinggi di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah di Putrajaya, esok seperti diumumkan Perdana Menteri pada sambutan Pesta Kaamatan di Penampang, pagi tadi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *