Peruntukan Ganti Bateri Solar Hibrid Bagi Manfaat Penduduk Belaga Diluluskan – TPM Ahmad Zahid

Ahmad Zahid menandatangani plak pelancaran projek solar hibrid sejurus merasmikan Majlis Perasmian Projek Bekalan Solar Hibrid dan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Brain Mering di Punan Ba Belaga hari ini. Foto Facebook Zahid Hamidi
BELAGA, 1 Jul – Kerajaan meluluskan peruntukan bagi menggantikan bateri solar hibrid dan penyambungan grid nasional di Punan Ba di Belaga, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Jelasnya, peruntukan adalah bagi pelaksanaan kerja-kerja menggantikan bateri solar hibrid dan pelaksanaan projek penyambungan grid nasional di Punan Ba.
“Lawatan saya yang kesekian kali ke Belaga pada kali ini sememangnya memberikan berita gembira kepada seluruh komuniti di Belaga khususnya di Punan Ba kerana pelaksanaan kedua-dua projek ini bakal memberi impak positif terhadap semua penduduk di Punan Ba serta kawasan berdekatan yang lain,” ujar beliau.

Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media yang diadakan sejurus selesai merasmikan Projek Bekalan Solar Hibrid dan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Brain Mering di Punan Ba Belaga, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan berita baik kepada semua penduduk bahawa kerajaan akan membuat penelitian bagi pembinaan jalan utama dari kawasan Punan Ba menuju ke Bintulu sejauh 20 kilometer termasuk kerja-kerja pemasangan lampu jalan di sepanjang laluan yang akan dilaksanakan melalui peruntukan yang disalurkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Sebagai tanda prihatin terhadap keperluan masyarakat setempat, pelan pembinaan loji air bersih di kawasan Punan Ba akan turut dimasukkan dalam Belanjawan Negara 2025 termasuk kerja-kerja menaik taraf pejabat dan Tabika KEMAS Punan Ba serta pembinaan jambatan Bailey demi manfaat penduduk setempat dan kanak-kanak yang bersekolah.

“Dalam perkembangan sama, saya akan berbincang dengan Menteri Kerja Raya dalam masa terdekat bagi pelaksanaan projek menaik taraf Jalan Jiwa Murni di Belaga, sekali gus merealisasikan impian penduduk yang inginkan jaringan jalan raya yang lebih baik dan selesa pada masa depan,” tambahnya.
Secara keseluruhannya menurut Ahmad Zahid, hubungan baik antara Kerajaan Sarawak dan persekutuan bukan hanya setakat memenuhi atau tertumpu kepada tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) semata-mata, malah lebih daripada itu.
“Apa yang lebih penting ialah kedua-dua pihak iaitu Kerajaan Sarawak dan pusat akan mengukuhkan hubungan dari semasa ke semasa bagi memastikan hubungan baik akan terus terpelihara sekali gus memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak,” tambahnya.
- Oleh Brian Ambrose
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
