Pertemuan Muhyiddin-Hashim Jasin Buat PN Tambah Celaru

Kehadiran Muhyiddin ke teratak Hashim di Arau sebenarnya tidak membawa apa-apa makna selain hanya ‘mengeratkan’ silaturrahim yang goyah ekoran krisis politik di Perlis yang membawa kepada kehilangan jawatan menteri besar.
PENDAPAT, 25 Jan – Tiada apa yang menarik dapat disimpulkan daripada pertemuan antara Muhyiddin Yassin dengan Hashim Jasin di Arau yang dilihat tidak mampu menyelesaikan kemelut penentuan pengganti Pengerusi Perikatan Nasional (PN), sebaliknya menambah lagi kecelaruan dan ketidakpastian dalam gabungan tersebut.
Walaupun pertemuan itu diharapkan menjadi titik penyelesaian kepada krisis kepimpinan PN, realitinya ia gagal memberikan sebarang keputusan jelas atau hala tuju muktamad, sehingga ke hari ini setelah Presiden Bersatu itu mengumumkan pengundurannya secara rasmi pada 1 Januari lalu.
Sehingga kini, PN hampir sebulan ‘beroperasi’ tanpa ‘nakhoda’ yang benar-benar diiktiraf, sekali gus mencerminkan kelemahan dalam mekanisme membuat keputusan di peringkat tertinggi gabungan itu.

Pertemuan tertutup tanpa kenyataan tegas kepada umum cuma sekadar ‘minum-minum’ malah dilihat semacam ‘menganjing’ seseorang dan hanya mengundang lebih banyak spekulasi, sama ada PN benar-benar bersedia untuk mencapai kata sepakat atau terus terperangkap dalam percaturan dalaman parti komponennya.
Lebih membimbangkan, kegagalan menyelesaikan isu kepimpinan ini mendedahkan perbezaan pandangan yang ketara antara Bersatu dan Pas.
Kebuntuan pengganti Muhyiddin yang sepatutnya merupakan tunjang utama PN, Pas juga masih bergelut menentukan calon yang mampu diterima bersama. Keadaan ini memberi gambaran bahawa perpaduan yang sering dilaungkan PN sebenarnya rapuh dan terlalu bergantung kepada kepentingan individu serta parti tertentu.
Debat Serlahkan Kepincangan, Kedangkalan Pemimpin Perikatan Nasional
Siapa sahaja yang cuba ‘diketengahkan’ selain Muhyiddin, ketidakpastian ini memberi kesan besar terhadap kredibiliti PN sebagai gabungan pembangkang utama dan pesaing kuat bagi Pakatan Harapan (PH) serta Barisan Nasional (BN) yang menyapu bersih kedua-dua kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag semalam.
Rakyat mula mempersoalkan keupayaan PN untuk mentadbir negara sekiranya isu asas seperti kepimpinan sendiri gagal diselesaikan dengan cepat dan berkesan.

Lalu apa makna pertemuan Muhyiddin Yassin dan Hashim Jasin di Arau yang bukan sahaja gagal meredakan kemelut, malah menonjolkan PN sebagai gabungan yang hilang arah pedoman?
Lebih-lebih lagi Abdul Hadi Awang tetap bertegas Pas patut memimpin PN dan bukannya Muhyiddin yang sudah tidak lagi dhormati sesetengah pemimpin dalam gabungan itu apatah lagi dalam partinya sendiri.
Selagi tiada keputusan tegas dibuat, PN akan terus dilihat terumbang-ambing tanpa kepimpinan yang jelas, malah tidak mampu memberi ‘isyarat’ menggugat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang makin hari makin ‘ligat’ bersama rakyat.
Lihat sahaja semalam, ke mana sahaja Anwar turun sama ada di Seberang Perai, Permatang Pauh malah ke Sungai Petani, ribuan rakyat hadir tanpa perlu dikerah biarpun ‘gelombang’ kebangkitan rakyat belum nampak jelas.
Tetapi barang diingat, SARA yang menjadi ‘senjata’ kerajaan membantu rakyat RM100 sebulan mungkin menjadi jawapan kepada bagaimana PN tidak mampu memberi bantuan hampir serupa di negeri yang mereka tadbir sehingga ke hari ini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
