Kemelut Pengerusi PN Berterusan, Pas Tetap Tolak Muhyiddin

Abdul Hadi menegaskan, Pas tetap dengan ketetapan untuk mengambil alih kepimpinan PN seperti dipersetujui dalam muktamar parti tersebut dan menafikan Muhyiddin dikekalkan pada 23 Januari 2026.
MARANG, 23 Jan – Kemelut peletakan jawatan Muhyiddin Yassin pada 1 Januari lalu terus membelenggu Pas untuk mencari penggantinya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dijangka berterusan setelah Abdul Hadi Awang menafikan Muhyiddin bakal dikekalkan.
Sebaliknya, Ahli Parlimen Marang itu menegaskan, Pas tetap dengan ketetapan untuk mengambil alih kepimpinan PN seperti dipersetujui dalam muktamar parti tersebut sebelum ini.
“Tidak ada, tidak ada, tidak ada (Muhyiddin kekal Pengerusi PN). Itu resolusi Muktamar Pas (jadi Pengerusi PN). Pas ada calon kita (Pengerusi PN),” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila di sini hari ini.
Abdul Hadi juga mengakui masih belum menerima jemputan untuk menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PN bagi mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi gabungan pembangkang tersebut sekaligus menamakan penggantinya.
Beliau berkata, kelewatan mesyuarat tersebut yang sudah tertangguh lebih tiga minggu selepas Muhyiddin meletak jawatan tersebut lebih disebabkan ‘masalah pentabdiran’ namun enggan mengulas lanjut bentuk masalah yang menyebabkan PN terus terumbang-ambing sehingga kini.
“Mungkin dalam seminggu, dua (kedudukan Pengerusi PN dimuktamadkan),” katanya.
Muhyiddin bertindak drastik melepaskan jawatannya dalam PN tetapi masih kekal sebagai presiden Bersatu, dengan memberi isyarat penggantinya juga mestilah salah seorang presiden parti komponen dalam PN.
Ini menyebabkan Pas tiada jalan lain melainkan mencari pemimpin lain setelah Abdul Hadi kekal dengan pendiriannya enggan menggantikan Muhyiddin.
Beberapa nama yang dicadangkan Pas seperti Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahmad Samsuri Mokhtar tidak dipersetujui beberapa puak dalam Pas sendiri dan kenyataan tegas Muhyiddin mematikan terus hasrat Pas kononnya mempunyai ‘tiga empat lori’ pemimpin yang layak menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


