Penunggang Motosikal Maut Gagal Elak Pacuan 4 Roda

Motosikal ditunggang mangsa tercampak ke atas ruang muatan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dirempuhnya. Foto Facebook
LANCHANG, 27 Apr – Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas terlanggar belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam nahas di Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1) arah timur dekat Temerloh semalam.
Dalam kejadian yang berlaku di KM98.6 itu, mangsa lelaki berusia 34 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian dada.
Menerusi klip video kamera papan pemuka pengguna jalan raya lain, yang menjadi tular di media sosial, didapati motosikal ditunggang mangsa terpelanting setelah terlanggar kenderaan pacuan empat roda tersebut, sebelum tercampak ke atas ruang muatan kenderaan itu.
Ketua Polis Temerloh Mazlan Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada kira-kira 4.45 petang.

Siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku ekoran tindakan seorang wanita yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) berhenti di bahu jalan sebelum berlari ke tengah jalan.
Mazlan berkata, disebabkan tindakan wanita itu, pemandu sebuah kenderaan pacuan empat roda terpaksa menekan brek secara mengejut sebelum dilanggar oleh motosikal mangsa yang tidak sempat mengelak.
“Mangsa yang menunggang motosikal jenis Suzuki GSX-R1000 dari arah belakang gagal mengelak lalu terus melanggar bahagian belakang kenderaan tersebut.
“Mangsa terjatuh di lorong laju, manakala motosikalnya tercampak ke bahagian belakang Mitsubishi Triton yang dirempuhnya,” katanya, lapor Sinar Harian.
Mazlan berkata, wanita yang memandu SUV tersebut, berusia 35 tahun, dan penumpangnya, seorang lelaki warga China berusia 37 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Hasil ujian saringan air kencing ke atas pemandu dan penumpang SUV tersebut didapati negatif dadah, tambahnya.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana kecuaian menyebabkan kematian.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
