Pengedar Dadah Dipenjara Sembilan Tahun, 10 Sebatan Edar Syabu

Tangkap layar video kejadian tangkapan tertuduh berdurasi 30 saat yang ditularkan di Plaza Manggatal.

KOTA KINABALU, 27 AprSeorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan 10 sebatan selepas mengedar dadah jenis syabu di daerah ini tiga tahun lalu dalam satu prosiding yang dijalankan di Mahkamah Sesyen 2 Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu pada Jumaat.

Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman terbabit kepada Thomas Sabon Mehen, 38, selepas tertuduh mengaku bersalah mengikut pertuduhan Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Hukuman terhadap tertuduh berkuat kuasa dari tarikh ditangkap iaitu pada 11 Oktober 2021 sebelum dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk dihantar pulang selepas menjalani hukuman berikutan tertuduh tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah dan bukan warganegara Malaysia.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine atau syabu di kawasan Manggatal pada 11 Oktober 2021.

Tangkap layar video kejadian tangkapan tertuduh berdurasi 30 saat yang ditularkan di Plaza Manggatal.

Tertuduh yang sedang menjalankan aktiviti pengedaran dadah kemudian ditahan di dalam sebuah kenderaan menerusi Op Tapis yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Semasa penahanan berkenaan, suspek yang bertindak agresif ditahan bersama 93.34 gram dadah jenis syabu di dalam beg miliknya.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, bagaimanapun tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 berdasarkan keputusan laporan Jabatan Kimia Malaysia.

Terdahulu, video penangkapan tertuduh tular di media sosial selepas pihak polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kenderaan yang dinaiki tertuduh bagi menghentikan tertuduh bertindak agresif.

Tertuduh juga enggan memberi kerjasama dan terus bertindak agresif dengan merempuh kenderaan pasukan beberapa kali selain cuba melanggar pegawai dan anggota polis dengan cara merempuh dari bahagian hadapan kenderaan berkenaan.

Semasa kejadian itu, pihak polis turut mengejar suspek yang melarikan diri sejauh 120 meter sebelum berjaya ditahan hasil kecekapan pasukan serbuan daripada BSJN IPD Kota Kinabalu.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *