Peniaga Kosmetik Dicerai Suami Ketika Siaran Langsung Di TikTok

Peniaga kosmetik dari Pasir Tumboh Nur Hazwani Mustapha mendakwa diceraikan suami ketika sedang bersiaran langsung di TikTok Rabu lalu. Foto Nur Hazwani

KOTA BHARU, 30 Jul – Seorang peniaga kosmetik dalam talian tidak menyangka suaminya sanggup menceraikannya dengan talak satu ketika dia bersiaran secara langsung di TikTok, Rabu lalu.

Nur Hazwani Mustapha, 37, berkata, ketika sedang bersiaran langsung di rumahnya di Pasir Tumboh di sini, suaminya yang berusia 40-an datang dan memarahinya.

“Ketika itu kami bergaduh dan berlaku provokasi antara kami sebelum suami melafazkan cerai kepada saya.

“Suami kahwin dengan wanita lain lebih tiga bulan lalu atau April lalu, disyaki di Thailand tanpa pengetahuan saya. Pada mulanya, saya mahu menerima ‘madu’, namun disebabkan mereka suka perli dan membuat provokasi, jadi saya tidak bersetuju dengan perkahwinan kedua suami.

“Suami juga seolah-olah lebih sayangkan isteri kedua berbanding saya sehingga hati saya menjadi tawar,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu rakaman siaran langsung di TikTok wanieymustapha3 yang diceraikan suaminya tular dan mendapat pelbagai reaksi orang ramai.

Ibu empat anak itu berkata, hasil perkongsian hidup selama 10 tahun mereka dikurniakan dua anak berusia empat serta tujuh tahun.

Katanya, kerana mahu bersama suami dan menjaga keluarga dia juga sanggup berhenti kerja sebagai anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Demi suami, saya sanggup berhenti kerja kerana mahu berada di sisi suami, namun selepas 10 tahun ini yang saya dapat. Ketika awal perkahwinan, saya sanggup hidup susah bersamanya sehingga kehidupan kami berubah ke arah yang lebih baik, tetapi ini balasan saya dapat.

“Walaupun diceraikan ketika sedang bersiaran langsung dengan 3,000 orang yang sedang melihatnya, namun saya reda dan mahu meneruskan kehidupan bersama anak-anak,” katanya.

Menurutnya, dia lega selepas dilepaskan oleh suami dan mahu fokus kepada perniagaan kosmetiknya yang dibuat secara dalam talian.

Katanya, perceraian itu memberi hikmah apabila pelanggannya semakin bertambah dan dia mula dikenali berbanding sebelum ini.

“Biar apa orang nak kata, tetapi saya tidak kisah kerana mereka tidak mengalami apa yang saya hadapi. Saya harap orang ramai mendoakan yang baik-baik buat saya dan anak-anak,” katanya.

  • Oleh Hidayatidayu Razali


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *