Pengunduran Eddie, Black Tak Halang Konsert WINGS 40 Dekad

Konsert WINGS 40: 4 Dekad Terbang Tinggi itu tetap akan diteruskan yang dijadual berlangsung pada 28 November ini di Idea Live Arena, Damansara.
KUALA LUMPUR, 9 Okt – Meskipun dua anggota asal WINGS, Black (dram) dan Eddie (bass), mengumumkan pengunduran diri semalam, ia tidak menghalang Konsert Ulang Tahun Ke-40 diteruskan seperti yang dijadualkan
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Rumah Produksi Merah (RPM), Datuk Eddy Amir Salim, konsert bertemakan WINGS 40: 4 Dekad Terbang Tinggi itu akan berlangsung pada 28 November ini di Idea Live Arena, Damansara.
Ia dianjurkan sebagai tanda penghargaan terhadap empat dekad perjalanan seni kumpulan yang menjadi ikon muzik rock tempatan sejak ditubuhkan pada tahun 1985.
“Konsert ulang tahun ini bukan sekadar persembahan, tetapi satu penghormatan kepada nama besar WINGS yang telah menghiburkan jutaan peminat selama empat dekad.

“Kami mahu memastikan setiap penonton membawa pulang kenangan manis bersama lagu-lagu lagenda mereka,” ujarnya.
Selain itu, Eddy turut menzahirkan ucapan terima kasih dan selamat maju jaya kepada Eddie dan Black, serta mendoakan agar segala urusan mereka dipermudahkan oleh Allah SWT.
Tambahnya, segala persiapan berjalan lancar dan pihak penganjur menjanjikan persembahan yang penuh energi, nostalgia dan kehebatan tersendiri.

“Setakat ini, jualan tiket telah mencecah 90 peratus. Hanya sekitar 10 peratus tiket masih berbaki untuk peminat yang belum membuat pembelian,” jelasnya.
Semalam, dua anggota kumpulan tersebut iaitu Eddie dan Black membuat keputusan mengejutkan apabila mengundurkan diri daripada kumpulan tersebut.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
