Penduduk Lega Imigresen Gempur Kawasan PATI Di Bandar Sultan Suleiman

Antara warga asing yang ditahan untuk pemeriksaan dalam operasi di perumahan flat Jalan Sultan Abdul Samad di Bandar Sultan Suleiman pada Ahad.

KLANG, 23 Jun – Penduduk sekitar kawasan Bandar Sultan Suleiman melahirkan rasa lega apabila Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggempur beberapa kawasan perumahan di Jalan Sultan Abdul Samad dekat sini menerusi Op Bersepadu petang tadi.

Rata-rata mereka menyifatkan tindakan tersebut sepatutnya telah lama dilakukan namun mereka bersabar kerana memahami bukan mudah untuk ‘mengepung’ kawasan majoriti pendatang itu.

Seorang penduduk di sebuah pangsapuri PKNS mendakwa kelibat mereka semakin membimbangkan kerana komuniti mereka semakin lama semakin membesar tanpa kawalan pihak berkuasa.

“Kawasan ini memang ramai warga asing, boleh lihat sendiri sebelum ini pada hari Sabtu dan Ahad atau cuti umum, memang penuh dengan mereka sahaja.

“Warga asing ini tak ganggu penduduk, cuma sikap segelintir mereka ada kalanya mabuk dan tidak mementingkan kebersihan, itu yang buatkan kami tidak selesa,” katanya.

Seorang lagi yang hanya dikenali sebagai Ahmad berkata “Memang ada rondaan pihak berkuasa di kawasan ini, tapi kalau boleh kami mahukan satu tindakan yang drastik, macam operasi seperti ini, bagi saya perlu dibuat secara kerap.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pihak Imigresen Selangor terutamanya yang jalankan serbuan seperti ini,” katanya.

Katanya, dia bersama isteri dan dua anaknya sudah menetap di kawasan perumahan ini sejak empat tahun lalu.

“Kalau sebut sahaja kawasan perumahan flat ini memang ramai yang tahu penuh dengan warga asing, kami sebagai orang tempatan pula rasakan seolah macam orang luar.

“Kadang kala nak ajak saudara-mara datang pun rasa segan, saya dah beli rumah ini, nak pindah mana lagi,” katanya.

Terdahulu Pengarah JIM Selangor Khairrul Aminus Kamaruddin berkata kawasan perumahan membabitkan warga Bangladesh, Pakistan, Myanmar dan Indonesia itu diserbu hasil risikan selama tiga bulan.

“Kita mendapat banyak aduan daripada penduduk setempat dan situasi berkaitan kehadiran mereka di kawasan ini turut disebarkan menerusi media sosial.

“Pemeriksaan mendapati ada dalam kalangan mereka melakukan kesalahan antaranya tidak memiliki permit atau pas yang sah untuk tinggal di negara ini, tinggal lebih masa dan melanggar syarat permit atau pas,” katanya kepada pemberita pada operasi itu.

Beliau berkata operasi berkenaan disertai 298 anggota dan pegawai imigresen, Pasukan Gerakan Am Briged Tengah, Jabatan Pendaftaran Negara, Majlis Bandaraya Diraja Klang dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Beliau berkata proses dokumentasi warga asing itu masih dijalankan dan pihaknya belum dapat memberikan jumlah penahanan atau mereka yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta kesalahan lain.

Terdahulu, ketika serbuan kira-kira 5 petang tadi kebanyakan warga asing berkenaan sedang menghabiskan cuti hujung minggu dengan bermain bola sepak dan membeli barang keperluan di pasar malam di kawasan perumahan itu.

Menyedari kehadiran pihak berkuasa, ada antara mereka bertempiaran melarikan diri termasuk sanggup bersembunyi di bawah kenderaan dan menggunakan alasan tertinggal bayi di rumah untuk mengelak ditahan.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *