Bomba Sipitang Bergegas Bantu Padam Kebakaran Di Lawas

Tangkap layar rakaman video tular menunjukkan asap tebal menyelubungi ruang udara apabila kira-kira lima buah rumah di Kampung Pemukat, Jalan Kuala Lawas musnah dalam kebakaran terbabit.

LAWAS, 23 Jun – Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, Sabah dikerah bersama BBP Lawas, Sarawak memadamkan kebakaran lima buah rumah yang musnah sepenuhnya yang berlaku di Kampung Pemukat, Jalan Kuala Lawas, dekat sini petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit kira-kira jam 5.47 petang.

“Seramai 20 anggota dari dua buah balai iaitu BBP Lawas dengan dibantu BBP Sipitang, Sabah dikerahkan ke lokasi kejadian serta merta selepas menerima panggilan kecemasan berkenaan.

“Jarak perjalanan ke lokasi sejauh 43 kilometer dari balai dan jentera bomba tiba sekitar jam 6.24 petang.

“Setibanya di lokasi kebakaran didapati lima buah rumah jenis tidak kekal terbakar 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sehingga berita ini ditulis, anggota bomba masih menjalankan operasi pemadaman.

– Oleh Mohd Aliff Idzwan Abdullah


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *