Pemain Man United Kena Dakwa Atas Cubaan Merogol

LONDON, 15 Okt – Penyerang Manchester United, Mason Greenwood didakwa atas tuduhan cubaan merogol, terlibat dengan tingkah laku mengawal dan memaksa serta melakukan serangan, kata pendakwa raya, semalam.
Pemain antarabangsa England berusia 21 tahun itu dijadual hadir di Mahkamah Majistret Manchester dan Salford, esok bagi menghadapi tiga pertuduhan berkaitan wanita yang sama.
Dia pertama kali ditahan pada Januari atas dakwaan mengaitkan seorang wanita muda selepas imej dan video disiarkan dalam talian.
Greenwood kemudian diikat jamin namun ditahan semalam kerana didakwa melanggar syarat ditetapkan.
Selepas itu Perkhidmatan Pendakwaan Mahkota (CPS) memberi kuasa kepada Polis Greater Manchester untuk mendakwa Greenwood.

Janet Potter, timbalan ketua pendakwa raya untuk CPS North West, berkata: “Perkhidmatan Pendakwaan Mahkota hari ini memberi kuasa kepada Polis Greater Manchester untuk mendakwa Mason Greenwood, 21, dengan cubaan merogol, terlibat dengan tingkah laku mengawal dan memaksa serta melakukan serangan yang menyebabkan kecederaan tubuh badan.
“Ketiga-tiga pertuduhan berkaitan pengadu yang sama. Pendakwa raya pakar rogol dari unit kerja kes kompleks CPS North West membenarkan pertuduhan selepas menyemak bukti yang diterima daripada Polis Greater Manchester.”
Greenwood, yang pernah membuat satu penampilan untuk England, sudah digantung daripada bermain atau berlatih bersama United.
