Pelajar IPT Rugi RM17,000 Ditipu Scammer

Pelajar kerugian RM17,000 akibat penipuan dalam telefon. Foto Hiasan

SIBU, 28 Mei – Seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di sini mendakwa kerugian RM17,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan ‘phone scam.’

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan selepas mangsa berusia 20-an itu membuat laporan polis pada Isnin.

Menurutnya, pada 11 Mei lalu pengadu telah menerima panggilan daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai daripada Polis Kontinjen Terengganu.

Pelajar kerugian RM17,000 akibat penipuan dalam telefon. Foto Hiasan

“Suspek memberitahu mangsa terdapat bungkusan yang didaftarkan atas nama mangsa telah ditahan kerana barang tersebut mengandungi kad pengenalan dan kad kredit.

“Suspek yang menyamar sebagai polis mengatakan hasil semakan mendapati mangsa terlibat dengan jenayah pengubahan wang haram dan meminta mangsa untuk memberikan butiran peribadi dan maklumat perbankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa kemudiannya telah diberikan nombor talian dan dikehendaki berhubung dengan ‘Dato Shariff Mokhtar’ bagi tujuan membantu menyelamatkan akaun bank mangsa.

“Berasa bimbang dan takut, mangsa telah menurut semua arahan yang diberikan dan membuat pindahan wang ke akaun yang diberikan oleh suspek.

“Pada 13 Mei lalu, mangsa telah membuat pemindahan wang sebanyak satu transaksi berjumlah RM17,000 ke dalam satu akaun bank tempatan,” jelasnya.

Menurut Zulkipli, mangsa hanya menyedari dia diperdaya suspek apabila suspek meminta untuk membuat pindahan wang sekali lagi berjumlah RM10,000.

Katanya, suspek juga mengelakkan diri daripada menjawab pertanyaan berkenaan siasatan kes mangsa tersebut.

Zulkipli berkata, susulan kejadian pengadu terus membuat laporan polis.

“Sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihatkan tidak mudah panik atau berasa cemas apabila menerima panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali serta mendakwa diri mereka dari mana-mana jabatan kerajaan atau institusi kewangan,” tegasnya.

Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, boleh dirujuk kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dan ikuti laman Facebook @CyberCrimeAlertRMP @JSJKPDRM.

Semakan pengesahan akaun bank dan nombor telefon yang diragui juga boleh dibuat melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *