PDRM Gagalkan Cubaan Seleweng 300 Liter Diesel Di Tawau

Kenderaan bersama suspek disyaki terlibat dalam penyelewengan minyak diesel ditahan PDRM sebelum kes diserahkan kepada KPDN Tawau pada 2 Mei 2026. Foto KPDN Sabah
TAWAU, 3 Mei – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tawau berjaya menggagalkan satu cubaan menyeleweng bahan api apabila sebanyak 300 liter diesel dirampas dalam satu serahan kes kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Tawau, semalam.
Berdasarkan maklumat, difahamkan kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, rampasan membabitkan sebuah kenderaan yang dipercayai sudah diubah suai dengan memuatkan tangki tambahan bagi menyimpan minyak diesel di luar tangki asal kenderaan.
Menurut kenyataan KPDN Sabah, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan menemukan 300 liter diesel dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM11,445.

“Kes ini diserahkan oleh pihak PDRM kepada KPDN untuk tindakan lanjut dan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” menurut kenyataan itu semalam.
Menurutnya, KPDN Sabah memandang serius sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan termasuk bahan api bersubsidi.
Sehubungan itu, pihaknya akan terus memperkukuh kerjasama bersama agensi penguat kuasa lain bagi membanteras kegiatan berkenaan selain memastikan tindakan tegas diambil terhadap individu terlibat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyelewengan barang kawalan diminta menyalurkan aduan melalui saluran rasmi KPDN atau menghubungi talian yang disediakan,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
