Op Tiris: Sindiket Seludup Diesel Mula Terasa ‘Bahang’ Digempur KPDN

Hasil operasi selama dua minggu tersebut telah menghasilkan jumlah sitaan hampir RM3 juta, rampasan terbesar setakat ini sekitar Bintulu.

BINTULU, 30 Mac – Sindiket-sindiket diesel di sekitar bahagian Bintulu mula terasa ‘bahang’ setelah pihak penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Bintulu melancarkan operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula pertengahan Mac lalu.

Pelbagai kaedah dan taktik cuba dipraktikkan penjenayah namun tetap gagal kerana cubaan menyeleweng dan menyeludup pantas dihidu pihak berkuasa.

Menurut Ketua Cawangan Pejabat KPDN Bintulu Al Redzamani Abdul Razak dalam kenyataannya hari ini, hasil operasi selama dua minggu tersebut telah menghasilkan jumlah sitaan hampir RM3 juta, rampasan terbesar setakat ini.

“Operasi ini juga adalah hasil risikan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain bantuan anggota polis,” ujarnya.

Serbuan yang dijalankan katanya, melibatkan beberapa stor haram yang digunakan oleh sindiket sebagai tempat transit minyak diesel bersubsidi sebelum dijual ke pasaran gelap.

Selain minyak diesel kata Al Redzamani, turut disita dalam serbuan tersebut adalah sebuah lori tangki, sebuah kapal tangki, beberapa tangki ‘skid’ dan IBC serta beberapa kenderaan pacuan empat roda yang digunakan oleh sindiket.

Menurutnya, kertas siasatan akan dibuka yang mana kes itu akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Jika sabit kesalahan katanya, suspek boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Pihak KPDN Bintulu menerima banyak aduan berhubung sindiket minyak diesel menerusi pelbagai medium termasuk aduan tular, media sosial KPDN, e-aduan, WhatsApp dan panggilan telefon,” ujarnya.

Selain itu katanya, isu kekurangan minyak diesel kerap dibuat aduan oleh orang awam termasuk orang kenamaan sebelum ini.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *