Negeri Sembilan Terus Pupuk, Erat Perpaduan Kaum Sempena Deepavali – Aminuddin

Aminuddin (tengah) mendukung seorang kanak-kanak sambil diperhatikan isterinya, Wan Hasni (kanan) pada majlis sambutan menjelang Deepavali pada Ahad. Foto: Facebook Menteri Besar Negeri Sembilan

SEREMBAN, 16 Okt – Biarpun parlimen telah dibubarkan pada 10 Oktober lalu dan bahang PRU-15 kian terasa, namun ia tidak menjadi penghalang buat Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun hadir meraikan kira-kira 1,000 orang terdiri daripada masyarakat India menjelang perayaan Deepavali yang akan disambut tidak lama lagi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat bersama Pusat Khidmat Rakyat DUN itu telah menganjurkan majlis sambutan menjelang perayaan itu di sini, pada Ahad.


Turut hadir, isteri Menteri Besar, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof serta para pemimpin masyarakat sekitar DUN berkenaan.

Pada majlis tersebut, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan turut menyampaikan sumbangan khas sempena Hari Deepavali daripada Pusat Khidmat DUN kepada anggota masyarakat India yang memerlukan.


Antara aktiviti lain yang diadakan termasuk cabutan bertuah serta penyampaian sumbangan kepada kuil dalam DUN Sikamat.

“Sempena perayaan Hari Deepavali yang bakal tiba tidak lama lagi, Pusat Khidmat DUN Sikamat telah menganjurkan satu majlis sambutan buat masyarakat india di DUN tersebut.


“Dianggarkan lebih daripada 1,000 orang hadir ke majlis tersebut bagi menikmati juadah yang disediakan.

“Dalam majlis tersebut, saya turut menyampaikan sumbangan Hari Deepavali daripada Pusat Khidmat DUN kepada anggota masyarakat india yang memerlukan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.


”Turut diadakan adalah cabutan bertuah serta penyampaian sumbangan kepada kuil dalam DUN Sikamat,” ulas beliau lagi.

Antara lain dalam ucapannya, beliau mengucapkan terima kasih khusus kepada masyarakat India kerana terus gigih berusaha membangunkan ekonomi negeri dan negara selain inisiatif kerajaan negeri yang diperkenalkan sejak 2018, turut membantu memupuk perpaduan erat antara kaum di negeri ini.


Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur serta semua para hadirin yang hadir memeriahkan sambutan tersebut yang menikmati pelbagai juadah yang disediakan selain persembahan kebudayaan daripada masyarakat tempatan.

“Terima kasih saya ucapkan kepada pihak penganjur serta semua para hadirin yang hadir memeriahkan sambutan tersebut.


Semoga penganjuran majlis ini memeriahkan lagi sambutan Hari Deepavali mereka,” katanya.

Perayaan Deepavali akan disambut di seluruh negara pada 24 Oktober ini.

Ikuti platform media sosial rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan seperti berikut:

Facebook: https://fb.com/dsaminuddinharun

Twitter: https://twitter.com/MenteriBesarNS

Instagram: https://instagram.com/dsaminuddinharun

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *