Negeri Sembilan Bentuk Jawatankuasa Tangani Isu Kenaikan Harga Barang

SEREMBAN, 6 Jul – Kerajaan Negeri Sembilan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menangani dan mengatasi isu-isu terkini yang dihadapi rakyat ketika ini termasuk yang berkaitan peningkatan kos sara hidup.

Sambil mengambil serius perkara berkenaan, Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun menjelaskan, jawatankuasa tersebut akan berfungsi sama seperti Pasukan Menangani Inflasi yang ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan.


“Kerajaan negeri juga akan bincang perkara tersebut dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan akan datang ini untuk sediakan jawatankuasa yang sama di peringkat negeri.

“Jawatankuasa ini berperanan untuk memastikan isu-isu rakyat dapat diatasi dan diambil maklum dengan lebih baik bagi diambil tindakan,” kata beliau pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Cadangan Pembinaan Baharu Masjid Bandar Seremban Selatan di sini pada Jumaat.


Baru-baru ini, kerajaan pusat menubuhkan pasukan khas itu berperanan mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu berkaitan inflasi, khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih berkesan.

Sementara itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri komited untuk melaksanakan projek pembinaan sebanyak 10 buah masjid baharu di Negeri Sembilan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM64.5 juta.


“Tujuh buah masjid daripadanya dibina dengan peruntukan Kerajaan Negeri dan selebihnya peruntukan Kerajaan Persekutuan. Pada tahun 2023, 10 buah masjid ini akan siap dibina untuk diimarahkan oleh masyarakat Islam di Negeri Sembilan,” ujarnya.

Menurut Menteri Besar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Masjid Bandar Seremban Selatan yang dibina dengan kos RM6.5 juta merupakan salah satu daripada tujuh buah masjid baharu yang dibina kerajaan negeri di bawah Peruntukan Pembangunan Negeri Sembilan.


“Masjid ini dianggar boleh memuatkan kira-kira 1,000 jemaah dengan skop projek melibatkan kerja-kerja pembinaan bangunan masjid yang merangkumi antaranya ruang solat lelaki dan wanita, tempat wuduk dan tandas, bilik mesyuarat, bilik pengurusan masjid dan bilik pengurusan jenazah.

“Bagi memudahkan jemaah untuk menunaikan solat, sejumlah 134 petak parkir kereta, 83 petak tempat letak motosikal dan empat petak tempat kereta bagi orang kurang upaya akan disediakan bagi jemaah yang membawa kenderaan,” katanya.


Ikuti platform media sosial rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan seperti berikut:

Facebook: https://fb.com/dsaminuddinharun

Twitter: https://twitter.com/MenteriBesarNS

Instagram: https://instagram.com/dsaminuddinharun

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *