NCR: ‘Rakyat Seolah Berada Di Medan Perang Di Gaza’ – Jame Stephen

Aktivis KEADILAN Sarawak, Jame Stephen menyifatkan insiden di Sungai Teban, Bintulu baru-baru ini umpama ‘berada dalam situasi perang di Gaza’. Foto Arkib

BINTULU, 26 JanKerajaan negeri digesa mengambil perhatian serius dan bertindak segera kepada masalah rakyat terutama isu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak.

Kes tanah NCR yang berlaku di Sungai Teban, Sebauh, Bintulu merupakan kes terbaharu yang agak memeranjatkan sebahagian penduduk yang rata-ratanya memiliki status tanah berkenaan.

Seorang aktivis KEADILAN Sarawak, Jame Stephen berkata, kes di Sungai Teban bukanlah kes yang pertama atau kedua berlaku di Sarawak, tetapi sudah berpuluh malah beratus kali terjadi.

“Saya cuma nak bertanya kepada Kerajaan Sarawak, apakah cara kerajaan menyelesaikan masalah Tanah NCR ini?”

“Penduduk di sini memerlukan tanah NCR mereka untuk meneruskan kehidupan untuk bertani dan menjual sebahagian hasil hutan,” soal beliau.

Aktivis KEADILAN Sarawak, Jame Stephen menyifatkan insiden di Sungai Teban, Bintulu baru-baru ini umpama ‘berada dalam situasi perang di Gaza’. Foto Arkib

Beliau yang juga Pengerusi Sarawak Dayak National Union Cawangan Bandar Bintulu menyuarakan kebimbangan rakyat di Sungai Teban, Bintulu yang terpaksa hidup dalam ketakutan dan kesedihan apabila tanah mereka bakal diambil oleh syarikat demi keuntungan mereka semata-mata.

Bagaimanapun, difahamkan kes di Sungai Teban telah diredakan oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang membawa senapang bersama dengan wakil syarikat terbabit.

“Apakah dengan menggunakan pihak berkuasa mampu meredakan keperitan dan kesengsaraan yang dialami oleh penduduk di Sungai Teban?

“Kita seolah sudah seperti berada di ‘medan perang’ di Semenanjung Gaza. Yang empunya tanah ditakutkan dengan kekuatan anggota polis yang membawa senjata sebagai perisai,” jelas Jame.

Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) mengawal kawasan yang didakwa tanah berstatus NCR di Sungai Teban, Bintulu daripada bantahan penduduk yang menduduki puluhan tahun. Foto Facebook

Jelasnya lagi Kerajaan Sarawak yang dipimpin Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg sudahpun memperolehi mandat dua pertiga semasa PRN Sarawak lalu harus bersikap lebih pantas bertindak mempertahankan tanah NCR ini.

“Tidak boleh sekadar melaungkan kerajaan ini kuat dan stabil tetapi tidak menjaga hak rakyat Sarawak.

“Pemimpin-pemimpin Dayak yang berada di dalam Kerajaan Sarawak harus pantas bertindak berkenaan isu NCR ini. Jangan hanya duduk diam bila mana anda mempunyai kedudukan yang manpu mempertahankan hak rakyat Sarawak,” tegas beliau lagi.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada pemimpin daripada GPS yang mengulas tindakan berkenaan terkait kes di Sungai Teban seolah tidak mempedulikan nasib rakyat sendiri.

Hantaran daripada Facebook Andrew Paul dalam bahasa Iban yang menceritakan kisah sebenar yang berlaku kepada penduduk yang mempertahankan tanah NCR di Sungai Teban, Bintulu.

Jame juga mengingatkan rakyat bahawa kerajaan negeri mesti bertanggungjawab sepenuhnya atas insiden terbabit dan tidak seharusnya menyalahkan Kerajaan MADANI di Putrajaya kerana hal ehwal tanah merupakan bidang kuasa kerajaan negeri.

Beliau turut mengingatkan dana yang telah diberikan oleh Kerajaan MADANI untuk menguruskan hal berkaitan pengukuran tanah NCR wajar dilaporkan kepada rakyat agar ketelusan dan integriti dapat dinilai sepanjang masa.

”Saya tidak mahu melihat situasi ‘pukul anak sindir menantu’ terjadi kepada kerajaan apabila yang membuat onar ialah kerajaan negeri namun kerajaan pusat pula dipersalahkan sedangkan mandat telah diberi kepada kerajaan negeri untuk menguruskannya,” jelasnya lagi.

LAPORAN LANJUT KLIK PADA PAUTAN DI SINI


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *